25 September 2021, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur: “Menulis tanpa merangka terlebih dahulu hanya akan menghasilkan karya yang tunggang-langgang. Jawab dahulu persoalan 5W 1H mengenai cerpen yang hendak ditulis secara ringkas sebelum dikembangkan menjadi sebuah cerita,” demikian ulasan yang diberikan Nisah Haron dalam segmen “Idea yang Bercelaru Menjadi Cerita yang Jitu” menerusi laman Facebook Secangkir Kopi Jam 10 pada pagi tadi.

Episod pada kali ini memberikan panduan kepada penulis tentang bagaimanakah untuk menyusun idea, pengalaman dan fakta untuk menghasilkan cerita yang jitu.

“Rangsangan dalam diri sering terjadi apabila sedang menulis iaitu apabila idea datang mencurah-curah lalu kita menjadi celaru. Jadi, kita kena belajar untuk kawal idea tersebut dan langkah pertama yang perlu dibuat ialah merancang dan merangka idea berdasarkan formula 5W 1H,” ujarnya.

Beliau berpendapat bahawa sekiranya terdapat penulis yang enggan mengikuti langkah ini, maka mereka perlu sekurang-kurangnya memastikan terdapat rangka permulaan dan pertengahan yang kukuh sebelum mula mengarang untuk mengelakkan hasil penulisan berakhir dengan teruk.

Teknik ini turut dipersetujui oleh Rozninah Abd Azib yang menghuraikan ketidaksesuaian penggunaan elemen yang berteraskan masa kini, tetapi ditulis dengan menggunakan latar masa yang tidak selari.

“Dalam pemilihan nama pada tahun 90-an misalnya, popular dengan nama Amirul, Nurul dan Fatin. Nama yang digunakan juga mewakili zaman, jadi perlu ambil tahu hal sebegini. Perkara lain yang harus diambil perhatian ialah jenis cerpen seperti eceran, cerpen mikro, cerpan dan antologi yang masing-masing mempunyai format berlainan, terutamanya dari segi jumlah halaman dan perkataan serta audiens sasaran,” tegasnya.

Beliau dalam perkongsian tersebut turut menerangkan kepentingan menulis sinopsis yang sering disalah tafsir sebagai ringkasan kepada naskhah yang telah siap dibukukan.

“Sinopsis ialah alur cerita yang telah dimasukkan plot dan apabila editor membacanya, mereka sudah faham dan dapat kenal pasti sekiranya terdapat persamaan dengan karya penulis lain. Hal tersebut penting untuk memastikan bahawa karya tersebut merupakan idea asal penulis dan juga untuk memudahkan kerja pengubahsuaian pada kemudian hari. Sekurang-kurangnya hasilkan sinopsis cerita terlebih dahulu jika serius mahu bukukan karya sastera,” sambung beliau.

Menyentuh mengenai tema dan konsep penulisan, Nisah sebelum itu memulakan sesi perbincangan tersebut dengan menegaskan bahawa penulis perlu kenal konsep dan tema yang dibawa oleh sesebuah rumah penerbitan kerana perkara tersebut amat penting agar mereka tidak membuang masa dan mempunyai hala tuju untuk menerbitkan karya tersebut.

“Seperti majalah Dewan Budaya, kandungan majalah tersebut bukan sahaja meliputi aspek sastera, tetapi juga budaya. Idea besarnya adalah seperti sejarah, warisan, hasil seni, cara hidup sesuatu bangsa dan sebagainya. Jadi, penulis yang ingin menghantar karya kepada majalah tersebut harus membuat carian mengenai aspek budaya dan sekali gus menghasilkan penulisan dalam bentuk cerpen. Sama juga konsepnya apabila menulis untuk akhbar seperti Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Namun penghasilan cerpen untuk akhbar adalah lebih pendek berbanding majalah,” kata beliau.

Berbeza dengan Rozninah, penekanan diberikan adalah lebih berpihak kepada perjalanan karya. Hal ini dapat dilihat apabila pada awal penglibatan beliau dalam dunia penulisan, beliau memfokuskan honorarium daripada kerahan buah fikirannya bagi menampung perbelanjaan anak-anak.

“Saya mahu menghasilkan satu kumpulan buku cerpen untuk remaja. Jadi, mana-mana cerpen yang telah diterbitkan dalam majalah yang menjadi sasaran untuk remaja, saya akan kumpulkan dan menulis cerpen yang baharu sekiranya tidak mencukupi. Daripada kumpulan cerpen ini, saya diberi honorarium dan apabila dibukukan, saya menerima royalti,” ujarnya.

“Sementara menunggu buku diterbitkan, kita boleh mempromosikan karya tersebut melalui majalah dengan menghasilkan kolaj cerpen yang diberi tajuk baharu. Tidak salah dari segi undang-undang selagi buku tersebut belum diterbitkan,” kata beliau dalam berkongsi panduan kepada penulis muda yang ingin menambah pendapatan dalam bidang penulisan.

Segmen Secangkir Kopi Jam 10 ini merupakan episod terakhir dalam musim keempat dan siaran penuh segmen pada kali ini dapat ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.