Diterbitkan pada 24 Ogos 2021, 20:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Apa cerita?” sering menjadi ayat tanya dalam perbualan kita pada setiap hari. Dengan satu soalan, maka akan terbit seribu satu cerita dan perkongsian. Begitulah juga pada dasarnya untuk mendapatkan idea berkaitan penghasilan kandungan bagi sesebuah filem dan televisyen. Hal tersebut berbeza dengan platform pembacaan seperti novel, cerpen dan puisi misalnya. Hal ini dikatakan demikian kerana menulis untuk kandungan filem dan televisyen mempunyai proses yang tersendiri. Sebelum mula menulis skrip, idea cerita tersebut harus disaring dan disesuaikan dengan keperluan platform tayangan.

Bengkel tersebut menghimpunkan 20 peserta terpilih dalam bidang penulisan skrip.

Bengkel “Creativity Never Stops 4.0”, anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) atas inisiatif Pakej Rangsangan Industri Kreatif (PRISMA) yang berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos 2021 merupakan platform yang tepat bagi penulis pemula untuk memulakan langkah pertama sebagai penulis skrip.

Bengkel yang berlangsung selama tiga secara dalam talian ini merupakan sebuah bengkel asas penceritaan visual yang dikhususkan kepada 20 orang peserta terpilih. Peserta tersebut  terdiri daripada penulis pemula, pelajar universiti dan penulis pemula yang berhasrat untuk berkecimpung dalam bidang penulisan filem dan televisyen.

Sebagai usaha untuk melahirkan penulis skrip yang berkualiti, maka bengkel tersebut telah menampilkan barisan tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu Azrie Izham Hamzah, Aliff Ihsan Rahman, Siti Jasmina Ibrahim dan Mohd Fairuz Padoli (MF Kencana). Dalam bengkel tersebut, peserta diperkenalkan istilah penawaran dan permintaan (supply and demand) untuk memahami dengan lebih mendalam perihal perolehan kandungan di televisyen. Hal ini disebabkan oleh setiap stesen televisyen atau platform kandungan digital mempunyai senarai keperluan yang tersendiri bagi menepati cita rasa penonton yang berbeza-beza.

Oleh itu, penulis bertanggungjawab untuk menyediakan dokumen idea cerita mengikut keperluan tersebut dengan mengenal pasti keunikan yang terdapat dalam cerita yang ingin ditawarkan. Yang menariknya, pihak penganjur juga telah mengundang Nor Syamimi Zakaria, penulis drama rantaian untuk berkongsi proses dan pengalaman kreatif.

Selain perkongsian perihal pembangunan idea dan ekosistem pasaran kandungan kreatif tempatan, peserta turut mendapat pendedahan mod praktikal. Keterbatasan untuk bersemuka tidak membuatkan bengkel ini terasa tidak lengkap. Hal ini dikatakan demikian kerana peserta diberikan tugasan untuk membuat One Page Pitch yang dibentang pada hari terakhir bengkel tersebut berlangsung.

Pendekatan interaktif seperti aktiviti main peranan (roleplay) antara penerbit-penulis-pengarah serta perkongsian santai daripada Siti Jasmina Ibrahim dan MF Kencana yang telah menulis ratusan skrip drama televisyen telah membuka mata peserta tentang peluang dan potensi sebagai penulis filem dan televisyen.

Azrie merupakan tenaga pengajar utama dalam bengkel tersebut.

Memetik kata-kata Azrie Izham Hamzah dalam perkongsiannya, “Satu idea daripada penulis yang lulus untuk diterbitkan akan membuka peluang kepada banyak pihak untuk menjana pendapatan menerusi kerja produksi. Setiap penulis bermula dengan langkah pertama, apa yang lebih penting ialah keinginan dan semangat untuk melangkah dan terus berkarya!”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi