8 April 2021, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Forum tersebut berlangsung secara dalam talian melalui laman Facebook ASWARA.

Unsur seram merupakan antara unsur yang dekat dengan masyarakat. Oleh itu, unsur seram mula diperkenalkan dalam karya kreatif mahupun lakon layar dengan menjadikan kisah seram masyarakat sebagai subjek dalam sesebuah karya tersebut. Bagi mengupas dengan lebih lanjut berkaitan genre seram dalam karya kreatif, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, ASWARA telah menganjurkan forum secara dalam talian yang bertajuk “Unsur Seram dalam Karya Kreatif Tanah Air” pada 6 April 2021. Forum tersebut menampilkan Dr. Hani Salwah Yaakup, Fadli Al-Akiti, Farah Ahmad dan Anuar Darwisy sebagai panel serta Azrie Izham Hamzah berperanan sebagai moderator.

Apabila berbicara tentang penghasilan karya sastera seram di Malaysia, Fadli  mengatakan bahawa bukan sesuatu perkara yang mudah untuk menghasilkan karya tersebut kerana penulis seharusnya mempunyai kebijaksanaan dalam berkarya. Pernyataan tersebut turut disokong oleh Anuar yang mengatakan bahawa untuk menghasilkan sesebuah karya, kita (penulis) seharusnya menjiwai karya tersebut.

Kehadiran karya kreatif seram di Malaysia dapat dilihat pada sekitar tahun 2015 apabila permintaan terhadap karya tersebut berjaya menarik minat pembaca, khususnya dalam kalangan generasi muda. Seterusnya naskhah novel seram tersebut telah diadaptasi kepada filem. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan apabila menghasilkan filem berdasarkan naskhah novel tersebut. Menurut Anuar, antara kekurangan tersebut ialah kos dan kepuasan dalam kalangan penulis tersebut. Pernyataan tersebut ditambah pula dengan kenyataan Farah apabila beliau mengatakan bahawa penulis akan menghasilkan naskhah yang penuh dengan imaginasi dan hal tersebut menjadi kekangan kepada pelakon untuk menjiwai watak tersebut seperti dalam naskhah yang telah dihasilkan oleh penulis. Sebagai penulis karya kreatif seram, Anuar berharap bahawa penulis harus mempelbagaikan idea dalam menghasilkan karya mereka dan tidak hanya memfokuskan pada sesuatu idea sahaja.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.