18 Mac 2021, 23:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem (ASWARA) telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam “Forum Seni, Lagu dan Identiti” yang diadakan secara dalam talian pada 16 Mac 2021. Forum tersebut terdiri daripada tiga ahli panel yang berpengalaman dalam dunia seni lirik di Malaysia, iaitu  Ramlan Mohd Imam, Mohd Kamarulzaman Taib (CheKem) dan Siso, selain  A. Wahab Hamzah sebagai moderator pada forum tersebut.

Antara topik yang dibincangkan dalam forum tersebut ialah Anugerah Juara Lagu (AJL) yang berlangsung baru-baru ini. Hal ini dikatakan demikian kerana anugerah tersebut merupakan sebuah pengiktirafan kepada pengkarya yang berjaya menghasilkan sesebuah lagu yang berkualiti. Pada malam tersebut, Lagu Gila, nyanyian Kaka Azraf, Loca B dan Noki telah dinobatkan sebagai Juara Lagu. Kemenangan tersebut mempunyai pelbagai pandangan daripada masyarakat, khususnya berkaitan lirik yang disampaikan.

Menurut Mohd Kamarulzaman, lagu tersebut mempunyai impak yang tersendiri iaitu berkisarkan tentang isu semasa yang dekat dengan hati generasi muda. Selain itu, Ramlan Mohd Imam turut mengatakan bahawa lirik lagu tersebut mudah untuk difahami dan diingati dalam kalangan pendengar.

Perkembangan industri muzik dapat dilihat berdasarkan permintaan yang mengikut peredaran zaman. Menurut Ramlan Mohd Imam, generasi muda pada masa kini telah didedahkan dengan pelbagai genre muzik seperti rap. Apabila berbicara tentang lirik lagu genre rap, Siso berpandangan bahawa lirik yang terdapat dalam lagu tersebut mempunyai bahasa yang segar dan setiap sebutan mereka sangat jelas seperti lagu Gila.

Walaupun industri muzik harus mengikuti peredaran zaman, namun genre yang mengutamakan budaya seperti Irama Malaysia seharusnya tidak dilupakan. “Saya yakin bahawa masih ada peminat irama tersebut, terutamanya pada zaman sekarang,” ujar Mohd Kamarulzaman yang merupakan penggiat Irama Malaysia. Beliau turut memberitahu bahawa segelintir penggiat seni pada masa kini hanya memikirkan tentang identiti tanpa mementingkan tentang usaha untuk menghasilkan karya yang berkualiti. Pernyataan tersebut turut disokong oleh Ramlan Mohd. Imam apabila beliau mengatakan bahawa terdapat seni yang terselindung di balik sesuatu hiburan tersebut.

Pada akhir forum tersebut, Mohd Kamarulzaman mengatakan bahawa setiap pengkarya harus bertanggungjawab sebagai pendidik. Selain itu, seseorang pengkarya tersebut seharusnya bersaing dalam arus muzik global pada masa kini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.