Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Wadiassofi Jaafar

ALOR SETAR – Bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan dengan sastera dan budaya di Negeri Kedah, maka Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), iaitu sebuah badan penulis sentiasa bergerak aktif memainkan peranan dan tanggungjawabnya. Dalam konteks ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), negeri Kedah Darul Aman turut memberikan sokongan dan bantuan kepada ASASI.
Berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan ASASI Ke-46 Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Malinja 2, Hotel Seri Malaysia pada 3 April 2021, Pengarah JKKN Kedah, iaitu Yang Berbahagia Puan Sabarina Masadi mengatakan bahawa kerjasama ini adalah lambang berdaya saing yang mampu memperteguhkan nilai seni sastera dan budaya yang sekian lama diperjuangkan agar terus cemerlang dan gemilang. Tambah beliau lagi, JKKN Kedah akan membantu dari segi menyalurkan bantuan kewangan kepada ASASI dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan program bagi kebaikan penulis di Negeri Kedah
Dalam majlis itu, Sabarina turut menyampaikan sijil penghargaan kepada barisan ahli jawatankuasa ASASI serta melancarkan buku ahli ASASI bagi terbitan tahun 2020 dan 2021. Turut hadir sama ialah Ketua Satu ASASI, Puzi Hadi dan Ketua Dua ASASI, Zaidin Abadi.