Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — “Walaupun bahasanya santai, buku kumpulan sajak Dendam Budak sarat dengan nilai motivasi dan inspirasi yang dapat dijadikan panduan kepada sesiapa yang ingin menilai dan memahami perjalanan kehidupan.”
Demikian menurut penulis naskhah tersebut, YB Haji Manndzri Haji Nasib, Ahli Parlimen Tenggara ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Sajak Dendam Budak bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL), hari ini.
Manndzri Nasib atau nama penanya Maskah Fian berkongsi bahawa Dendam Budak merupakan karya pertama beliau yang dibukukan. Menariknya, kerjasama penerbitan bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini tercetus selepas beliau ditemu bual oleh sidang editor majalah Dewan Ekonomi. Tambahnya,
Daripada lebih 300 buah puisi yang asalnya ditulis secara santai sebagai “puisi jalanan” melalui Facebook, hanya 155 buah puisi yang dipilih untuk dibukukan. Angka tersebut dipilih sebagai simbolik kepada kawasan parlimen yang diwakilinya, iaitu P.155 Tenggara.

Beliau turut berkongsi coretan emosi di sebalik penghasilan buku ini, iaitu sebahagian besar puisi dihasilkan ketika beliau menjaga anak istimewanya (Down Syndrome) di hospital.
Dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed pula menyifatkan penerbitan Dendam Budak sebagai satu usaha yang bersejarah kerana memperlihatkan keterlibatan secara langsung seorang ahli parlimen untuk menzahirkan pemikiran dan pengalaman hidup melalui wadah puisi.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Menurut beliau, naskhah tersebut memperlihatkan kerencaman kehidupan penulis sebagai ahli politik, pemimpin belia, bapa dan ketua keluarga. Tambah beliau,
Melalui puisi-puisi dalam buku ini, pembaca dapat menelusuri pelbagai pengalaman hidup yang memperlihatkan kerelaan dan ketabahan penulis untuk menghadapi ujian serta cabaran kehidupan.

Baginya, pemikiran yang mendasari keseluruhan kumpulan sajak tersebut ialah kepentingan untuk terus berpegang teguh pada landasan kehidupan beragama dan keyakinan kepada Allah SWT walau apa-apa jua cabaran yang dihadapi.
Beliau berharap Dendam Budak akan terus mendapat perhatian pembaca kerana karya tersebut lahir daripada pengalaman, renungan dan keberanian penulis untuk menzahirkan perkara yang dirasai oleh masyarakat tetapi sukar untuk diungkapkan.