Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Penganjuran Program Anak Muda Menulis: Forum dan Bengkel Penulisan Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini memberikan peluang dan ruang kepada penulis muda yang terdiri daripada mahasiswa dan pencinta sastera untuk meneroka kreativiti penulisan sastera sejarah.
Program tersebut melibatkan dua segmen yang berbeza, iaitu Forum Penulisan Novel Sejarah dan Bengkel Lagu Puisi Kanak-kanak.
Forum bertemakan “Penulisan Novel Sejarah: Antara Fakta dan Imejan” menampilkan dua panelis, iaitu Pensyarah Kesusasteraan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Husairi Hussin dan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid.
Sementara itu, Pensyarah Kesusasteraan dari SCLP, UUM, YBrs. Dr. Mohd Haniff Mohammad Yusoff bertindak sebagai moderator.
Perbincangan forum memperlihatkan penulis novel sejarah yang perlu bijak mengimbangkan antara fakta sejarah yang autentik dengan kreativiti sastera yang memberi daya hidup kepada naratif.
Ahli panel turut berkongsi pengalaman proses penulisan yang berpaksikan kepada kajian arkib, teks sejarah, serta tafsiran estetik yang memberi nilai tambah kepada pemahaman sejarah bangsa.
Selain itu, perkara yang turut ditegaskan ialah penulisan novel sejarah memberikan manfaat yang luas kepada masyarakat.
Novel sejarah bukan sekadar catatan peristiwa masa lalu tetapi suatu cara untuk masyarakat memahami akar perjuangan bangsa, menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan memperkukuhkan nilai kemanusiaan dalam konteks masa sekarang.
Sementara itu, bengkel Lagu Puisi Kanak-kanak yang dikendalikan oleh dua orang Pegawai SICC+ dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, Kedah, iaitu Puan Wildan Haya dan Puan Farahida Camelia Fadzil membuka ruang kreatif kepada peserta untuk mengasah bakat mencipta lirik yang bersesuaian dengan tema bahasa dan pendidikan.
Bengkel tersebut turut menekankan aspek pementasan dan persembahan puisi yang menyentuh hati serta membina imaginasi terhadap nilai dan budaya bangsa.
Menurut Puan Wildan,
Generasi muda perlu menulis dengan perasaan kasih dan sayang untuk kesejahteraan negara. Kita perlu menyemai benih yang baik untuk melahirkan insan yang lebih baik pada masa sekarang dan akan datang.
Program anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bukan sekadar memperkasakan kemahiran penulisan kreatif dalam kalangan generasi muda, malah menjadi platform penting untuk menyemai kecintaan terhadap sastera tanah air.