20 Ogos 2021, 21:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan tahun 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP menganjurkan program bual bicara Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis yang berlangsung pada 20 Ogos 2021, pukul 10.30 pagi. Program tersebut menampilkan dua penulis yang giat menukil cereka untuk masyarakat, iaitu Angela Engkuan, penulis novel, cerpen dan cerita rakyat serta Sunita Sahidin, penulis yang makin mekar dalam industri pembukuan.

Dikemudikan Maslijan Abd. Rasad, objektif program ini adalah untuk memperbesarkan wacana ranah sastera wilayah Sabah, termasuk menyambut peluang mempromosikan karya penulis Sabah di samping mengelola ruang karyawan Sabah untuk berdiskusi dan membahas perihal penulisan serta pembukuan.

Kumpulan Cerita Rakyat: Magis Sang Manuk Bura.

Membedah bukunya Kumpulan Cerita Rakyat: Magis Sang Manuk Bura yang mengumpulkan 19 prosa rakyat, Angela Engkuan menyifatkan kisah Magis Sang Manuk Bura sebagai cerita yang dekat di hati beliau. “Magis Sang Manuk Bura adalah cerita pertama yang saya dengar daripada ibu saya, malah naratifnya yang lurus dan telus menceritakan kisah seorang Manuk Bura daripada kecil, membesar hingga dewasa menyentuh rencah kekeluargaan sangat mengesankan saya,” jelas Angela.

Angela juga menegaskan, penting untuk penulis mutakhir untuk menceburkan diri dalam mengkaji dan menulis cerita rakyat. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zaman moden ini, orang tua tidak berupaya untuk menyampaikan kisah rakyat kepada anak cucu mereka. “Maka, antara inisiatif untuk memelihara khazanah ini adalah dengan menulis dan mendokumentasikan prosa ini yang padat dengan teladan dan pengajaran, sebelum hilang ditelan zaman,” ujar beliau.

Melakar Sinar.

Manakala Sunita Sahidin, menggarap novel pertamanya Melakar Sinar dengan bertemakan realiti cabaran konflik kekeluargaan. Beliau juga menegaskan, konsep dan stigma yang dibebani mereka yang mengalami konflik sebegini sebenarnya memerlukan pemahaman konotasi baharu, iaitu yang lebih dekat dengan hakikat kehidupan.

“Kebanyakan kita akan berkata bahawa keruntuhan rumah tangga ini berpunca daripada satu sebab, tapi hakikatnya tidak. Novel ini mengangkat perwatakan seorang anak yang diuji dengan masalah kekeluargaan, berusaha untuk menjadi seorang manusia yang kontra daripada stigma anak ‘keluarga bermasalah’,” ujar Sunita. Tambahnya, novel ini juga menceritakan kesukaran watak itu (si anak) untuk berjuang menelusuri kehidupan.

Sunita juga mendedahkan bahawa cerita dalam novel ini merupakan kisah benar. Kisah yang disampaikan merupakan gabungan mesra dan ranum daripada pengalaman peribadi yang dekat di hati Sunita dan pengalaman individu yang rapat dengan beliau.

Perihal inspirasi dan dorongan, Angela Engkuan sebenarnya menulis hanya untuk kepuasan diri. Namun demikian, antara pendorong utama dalam kerjaya penulisannya ialah suami beliau sendiri yang sentiasa memberi semangat. Angela juga mengambil inspirasi daripada figura penulis gah di ranah dunia pembukuan dan penyiaran yang telah  membakar semangat beliau untuk menulis.

Program Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis diadakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2021.

Seringkali Sunita membayang namanya tercetak sebagai penulis dalam buku terbitan DBP.. Sepanjang kerjaya penulisannya, ibu Sunita merupakan inspirasi utama. Selain itu, Azmah Nordin yang merupakan Pemenang Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Kedua juga merupakan antara figura yang bertanggungjawab mendorong dan membimbing beliau.

Melakar Sinar adalah karya yang ditulis dari hati, dan saya mahu menyebut nama editor penyunting saya, saudara Hilmi yang telah mendorong saya dengan sentiasa menyeru tulislah … tulislah,” tambah Sunita.

Kedua-dua buku tersebut boleh didapati menerusi portal DBPNiaga atau JendelaDBP. Tonton bual bicara penuh di sini

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.