Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Perkembangan teknologi semasa seperti kemunculan Kecerdasan Buatan (AI) secara tidak langsung menjadi cabaran hebat kepada penulis terutamanya penulis muda dalam proses kreativiti penghasilan karya.
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Fahd Razy berkata, cabaran utamanya ialah munculnya persepsi kononnya sesetengah penulis secara total menggunakan teknologi tersebut untuk mencipta karya.
“Sebenarnya, kecerdasan buatan dalam ilustrasi atau lukisan sudah lebih awal diperkatakan.
“Mungkin dalam dunia sastera ini baru timbul rasa panik kerana timbul isu penulis menggunakan alat itu untuk tulis sajak, dan (persepsi) ini cabaran kepada penulis muda,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wacana penulis muda yang membincangkan topik “Menulis untuk Masa Depan: Kuasa Naratif Penulis Muda” sempena Perhimpunan Penulis Wilayah Timur 2025 yang diadakan di Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan, kelmarin.
Selain Fahd Razy, dua ahli panel lain turut terlibat dalam wacana tersebut ialah Presiden Persatuan Booktube Malaysia, Sdr. Hafiz Latiff dan penyair, Sdr. Khoo Phau Liang.
Sementara itu, Hafiz tidak menolak kemampuan kecerdasan buatan sebagai satu alat yang membantu seseorang untuk mengembangkan ilham yang sedia ada, namun penggunaannya harus lebih beretika dan bertanggungjawab.
“Kita harus faham, kreativiti sebenarnya datang daripada pengalaman, perasaan dan kecerdasan kita sendiri. Bukan daripada alat itu.
“Alat itu tidak ada pengalaman dan perasaan sebagaimana yang kita ada,” katanya.
Oleh hal yang demikian katanya, bagi memastikan kewibawaan dalam berkarya seseorang penulis, terutama penulis muda agar tidak terlalu ghairah menggunakan alat tersebut secara total ketika menghasilkan karya.
Bagi Khoo Phau Liang pula, ledakan teknologi terkini dengan pelbagai platform yang ada telah membuka ruang seluas-luasnya kepada penulis muda untuk memperkasakan bakatnya dalam dunia penulisan.
“Kita boleh menggunakan apa-apa sahaja platform yang sesuai untuk berkarya.
“Perkembangan teknologi maklumat pula banyak membantu mana-mana penulis untuk berkarya, sama ada cerita tentang hari ini, semalam, bahkan esok,” katanya.