Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Berdisiplin, konsisten, sabar, dan iltizam merupakan antara kunci utama, khususnya bagi penulis muda melestarikan bakat penulisan dalam apa-apa jua genre yang diminati.
Penyair, YBrs. Sdr. Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub atau dikenali sebagai Nimoiz T.Y berkata, kemahiran menguasai teknologi bukan jaminan untuk melonjakkan kreativiti penulis muda ke peringkat yang lebih matang dan bernilai.
“Kemahiran menguasai teknologi itu (hanyalah) sebagai alat bagi membantu seseorang agar lebih pantas menulis.
“Tetapi untuk tekal menulis, (penulis) memerlukan disiplin, sabar, iltizam, dan istiqamah,” katanya, menjawab peranan teknologi terhadap pembangunan sastera tanah air.
Beliau ditemui selepas program Forum Penulis Muda anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) yang diadakan di Dewan Seminar DBPWT Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Forum sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 itu membicarakan topik “Membaca, Memimpin: Membongkar Rahsia Penulis Muda Berjaya” dimudah cara oleh YBrs. Sdr. Nik Mohd. Hafiz Abdullah dengan menampilkan dua ahli panel iaitu, Nimoiz T.Y dan YBrs. Dr. Fahd Razy.

Selain ciri-ciri tersebut, katanya, budaya membaca dan sentiasa belajar tidak boleh terlepas sebagai amalan rutin bagi setiap penulis, malah hal ini tidak terhad kepada penulis baharu (muda) semata-mata.
“Kerana inilah satu wadah berkesan bagi melatih seseorang meningkatkan kemahiran berfikir, kreativiti dan kefahaman, seterusnya memperkasakan gaya penulisan itu sendiri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan penulis pemula terutamanya agar tidak takut untuk menulis apa-apa jua genre yang diminati dengan hal-hal yang kecil, kerana sesuatu perkara itu sememangnya bermula dari bawah.
“Sebagai langkah pemula, kita boleh sahaja menulis hal-hal yang mudah. Menulis apa yang dekat di sekeliling kita.
“Kalau kita lihat penulis bernama besar yang ada pada hari ini pun bermula dengan perkara kecil dan mudah,” ujarnya.
Apatah lagi, jelas beliau, sekarang ini, medan untuk penulis muda membangunkan bakat sangat luas dan mereka boleh menggunakan setiap ruang yang ada untuk membina keyakinan.
Tambahnya, setiap penulis juga seharusnya menerima setiap teguran secara terbuka dan jangan biarkan diri mudah berasa putus asa atau tergugat dengan sebarang kritikan.
