16 Mac 2021, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bengkel yang diadakan secara dalam talian tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar KIAS.

Kelab Seni, Sastera dan Budaya (KSSB) merupakan satu medan dakwah melalui kaedah kesenian Melayu bagi pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kelab ini juga ditubuhkan bagi memartabatkan kesusasteraan dan kebudayaan warisan yang semakin hilang dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, KSSB dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan Bengkel Penulisan dan Deklamasi Sajak di KIAS pada 27 Februari 2021.

Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Nimoiz T.Y sebagai penceramah utama yang berkongsi perihal penulisan sajak. Turut membantu, deklamator mapan Abdul Hadi Yusoff yang berkongsi teknik asas beraksi di pentas deklamasi. Program ini turut disempurnakan oleh Pengarah DBPWT, Encik Mohd Azam Juhari.

Sepanjang bengkel tersebut berlangsung, Fariz Helmi Zuraidi selaku Pengerusi KSSB mengatakan bahawa kebanyakan pelajar KIAS memiliki idea dan isi yang menarik, namun tidak mempunyai kemahiran tentang teknik dan kaedah yang betul dalam membuat persembahan serta penulisan sesebuah sajak. Oleh itu, melalui penganjuran bengkel tersebut, pelajar dapat  diberikan pendedahan tentang teknik penulisan serta persembahan yang betul. Selain daripada pendedahan tentang teknik penulisan kreatif, pelajar turut didedahkan dengan proses penghantaran karya kepada majalah terbitan DBP, terutamanya majalah Tunas Cipta.

Memetik kata-kata Wan Husna Hazirah Mohd Tarmizi selaku pengarah program, antara objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang teknik penulisan kreatif yang betul, selain menyediakan platform kepada pelajar untuk mengasah bakat terpendam dalam penghasilan karya, terutamanya sajak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.