Oleh Shield Sahran
24 Julai 2022, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUCHING – “Menjejaki Legasi, Menganjak Partisipasi Karyawan Sastera Wanita Sarawak” merupakan tema yang dipilih pada Perhimpunan Karyawan Sastera (PKS) ke-11 yang berlangsung pada 23 Julai 2022 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak anjuran Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

PKS ke-11 kali ini dirasmikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai. Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Encik Mohidin Malek, Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tuan Haji Hamzah Hamdani dan Sasterawan Negeri Sarawak ke-4, Encik Jong Chian Lai. Ucap utama pula disampaikan oleh Pengerusi Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KEPESSA), Puan Radzemah Bolhassan yang juga merupakan tokoh penulis wanita Sarawak.

Sesi 1 Bicara Tokoh.

Pada kali ini, PKS ke-11 terbahagi kepada tiga sesi yang menampilkan karyawan Bumi Kenyalang yang bertepatan dengan usaha untuk memperkasakan penulis wanita Sarawak. Melalui sesi “Bicara Tokoh” yang menampilkan Encik Osman Zaini selaku moderator, manakala para pembicara bagi sesi tersebut ialah Encik Jaafar Hamdan, Encik William Chan dan Encik Dilah Tuah yang berpengalaman dalam dunia penulisan di Sarawah telah membincangkan kejayaan penulis wanita pada masa lalu, polemik yang dihadapi oleh penulis wanita untuk bertahan dan kritikan karya penulis wanita yang harus diberi perhatian sewajarnya untuk kemandirian penulis itu sendiri.

Sesi 2 Bicara Orang Muda.

Sesi seterunya ialah “Bicara Orang Muda” yang menampilkan Cik Dayang Fatin Nurhazziqah Awang Madzelan selaku moderator, manakala pembicara ialah penulis wanita tunanetra, iaitu Cik Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar, penulis wanita, Cik Shield Sahran dan editor ruangan “Wadah Bahasa dan Sastera”, Puan Saidatul Faiqah Samasu.

Para pembicara mengupas ketekunan penulis muda Kumpulan Tunanetra dalam menangani cabaran berkarya, pelibatan penulis muda wanita pada masa ini, peluang berkarya yang disediakan serta peranan penulis wanita dalam menyumbang pembinaan intelektualisme bangsa secara seimbang.

Sesi terakhir “Bicara Srikandi” pula Puan Dalia Kassim selaku moderator, manakala para pembicara terdiri daripada penulis wanita mapan, iaitu Puan Dayang Azizah Md Salleh, Puan Alina Sidek dan Puan Rosani Hiplee yang mewakili persatuan masing-masing iaitu PEKASA, KEPESSA dan PENULIS dalam mengupas hala tuju penulis wanita dalam ranah sastera Sarawak. Selain itu, bicara tersebut turut membicarakan topik berkaitan dengan penulis wanita yang berpotensi untuk menyinar pada masa hadapan dan pengaruh penulis wanita veteran dalam menyuburkan percambahan penulis muda wanita yang baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.