27 April 2022, 08:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ─ Melalui rancangan “Bicara Karyawan: Gurindam Bunga Bangsa”, pengarang dan penyair Nazim Mohd Subari berkongsi perihal buku terbaharunya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Gurindam Bunga Bangsa. Gurindam Bunga Bangsa mengumpulkan kumpulan puisi tradisional terbaharu karangan Nazim yang mengangkat penulisan gurindam.

“Gurindam sentiasa memaparkan nasihat dan menyimpan pendapat dalam gaya halus. Melalui gurindam juga, nasihat dapat disampaikan tanpa pembacanya terasa diceramah atau dipaksa terima, kerana melalui gurindam, nasihat disampaikan dalam bentuk tersirat yang menarik pembaca untuk turut berfikir,”  Nazim menyambung, gurindam digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan nasihat agama, maka pengarangnya tidak boleh melencong jauh daripada tema itu.

Beliau yang telah mula menulis sejak berusia 14 tahun itu masih tetap menulis sehingga ke hari ini. Beliau turut mengambil peluang menyatakan bahawa beliau mempraktikkan pengetahuannya dalam menulis sepanjang pengajiannya di peringkat sarjana. “Ilmu yang saya timba di jabatan penulisan di Universiti Malaya selama tiga tahun lalu, saya manfaatkan sepenuhnya sehingga ke hari ini sebagai seorang penggiat sastera,” ulas beliau.

Nazim Mohd Subari yang kini tampil dengan buku kumpulan puisi gurindam terbaharunya itu bukannya penulis baharu dalam mengarang puisi tradisional. Puisi tradisional umumnya dianggap sebagai genre yang lebih berat untuk diterima sebagai medium berkarya dalam kalangan penggiat sastera umum. Puisi tradisional, kelihatannya lebih sukar untuk ditulis, dan khalayaknya tidak seluas khalayak sajak dan puisi moden. Namun, Nazim melihat polemik itu daripada sisi yang berbeza.

Pada awalnya, Nazim sendiri lebih ke arah penulisan sajak dan puisi moden. Namun pengalaman menulis beliau merumuskan bahawa untuk meluaskan sayap kepengarangan beliau, genre puisi tradisional perlu untuk diceburi. Seakan-akan menulis puisi tradisional boleh dianggap sebagai langkah progresif dalam berkarya; untuk menjelajah kemampuan yang mencabar daya penulisan seorang pengarang.

Khususnya dalam gurindam, Nazim melihat puisi tradisional sama ada pantun, syair mahupun gurindam adalah karya sastera yang menarik untuk dijelajah. Seperti dalam Gurindam Bunga Bangsa, Nazim menggunakan pemerhatiannya dalam dunia moden ke dalam tradisi penulisan puisi tradisional.

Jelas Nazim, “Seperti puisi lain, idea untuk mengarang gurindam boleh tercetus melalui pembacaan yang banyak, pemerhatian terhadap gelagat manusia, renungan terhadap alam semula jadi dan pengalaman terhadap perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.”

Ruang penulisan puisi tradisional memang agak terhad pada hari ini, sama ada untuk penyiaran akhbar mahupun majalah. Namun para pengkarya disarankan untuk terus berkarya dan mencari peluang untuk menyiarkan karya puisi berbentuk tradisional yang baharu kepada khalayak.

Dalam Gurindam Bunga Bangsa, sebanyak 105 buah gurindam terbaharu karya Nazim dimuatkan, yang mempunyai kepelbagaian tema seperti; nasihat, budi bahasa, alam sekitar, keagamaan, kasih sayang dan pendidikan. Menurut beliau, kumpulan puisi gurindam pada kali ini merupakan kesinambungan buku kumpulan gurindamnya yang pertama, Gurindam Warisan Ibunda. Secara peribadinya, beliau menganggap Gurindam Bunga Bangsa terkandung karya terbaik yang pernah beliau karang, setakat hari ini.

Tonton video penuh di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!