12 Februari 2022, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sarat dengan pelbagai emosi, bermula dengan emosi tentang beratnya kehidupan yang dialami sehinggalah rasa rindu tidak terucap terhadap orang tersayang. Kesemuanya terangkum dalam puisi yang menggunakan pelbagai kata-kata indah untuk mentafsir perasaan jiwa pengkaryanya. Bacaan puisi indah pada malam tadi telah dipersembahkan oleh barisan penyair muda yang menjadikannya sebagai rutin pada setiap  Jumaat, pukul 10.30 malam di reruang Twitter “Dunia Puisi”.

Antara barisan dalam reruang tersebut adalah Afifah Rizwan, Han Razak, Farra Diana, Taufiq, Emir Haqim dan Hakimi Rejab, yang mempersembahkan sekurang-kurangnya empat buah karya untuk hiburan pendengar tempatan dan rakan serumpun dari Indonesia yang turut hadir sepanjang program tersebut berlangsung.

Puisi yang dibaca ketika sesi tersebut berlangsung merupakan hasil kerja daripada golongan pemuisi pemula yang baru berinjak masuk dalam dunia puisi, lalu menghasilkan karya seperti nukilan Wafa Aula yang dipetik daripada naskah Perempuan dari Masa Lalu dan juga petikan karya penuh emosi dari anak seni seberang, iaitu Brian Krishna.

Kumpulan pemuisi pemula yang masih segan untuk menyampaikan bacaan tulisan mereka dilihat lebih selesa membuat hantaran kerja secara peribadi untuk dibaca oleh penyair yang disukai. Walaupun bukan lagi dalam kategori ini, Han Razak turut sama meminta rakan penyair, iaitu Taufiq untuk menyampaikan puisi gubahan beliau yang  menceritakan perasaan sayu hati tentang pemergian bapanya baru-baru ini.

Kehadiran pemuisi muda dalam reruang pada malam tadi telah menunjukkan bahawa generasi muda amat mencintai dunia puisi dan sekali gus mampu menghasilkan kepelbagaian dalam berkarya. Keyakinan dan keterampilan dalam berkarya harus terus digilap agar mampu menjadi pemuisi yang berkualiti.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.