11 Februari 2022, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah sebulan menganjurkan dan menyediakan pentas kepada penggiat dan peminat kesenian, khususnya dalam kalangan generasi muda, Rantai Art Event 2022 telah menutup tirainya pada 6 Februari yang lalu. Acara itu telah dilaksanakan di MyGround MyTown, Cheras yang diadakan secara mingguan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pada setiap minggu sepanjang program tersebut berlangsung, terdapat ramai pemuisi muda yang turut serta mendeklamasikan puisi mereka kepada khalayak penonton yang hadir. Begitu juga pada hari terakhir Rantai Art Event 2022 berlangsung yang turut dimeriahkan dengan suara pemuisi muda seperti Afifah Tahir dan EJ Safari. Acara tersebut juga dihadiri pengunjung yang datang dari pelbagai latar dan negeri yang hadir sebagai menunjukkan tanda sokongan kepada pemuisi muda. Acara deklamasi turut diselang-seli dengan persembahan akustik oleh artis jemputan antaranya MirukiDunno, SITADEWI dan Blossome!.

Wakil daripada Rantai Art, iaitu EJ Safari berkata, “Matlamat mereka adlah untuk memainkan peranan sebagai platform untuk artis yang datang dari pelbagai latar dan karakter untuk mempamerkan, memaparkan, berkongsi malah meluahkan sama ada idea, gagasan, pemikiran dan juga kemahiran mereka. Rantai Art bermatlamat untuk melahirkan generasi yang mempunyai idea dan pemikiran yang utuh, terutamanya dalam menuntaskan jiwa seni.”

“Pada setiap tahun inisiatif Meeting Of Character (MOC) akan mengumpulkan karakter-karakter bervariasi latar dan ciri ini di bawah satu bumbung. Mereka ini yang memeriahkan acara-acara MOC. Rantai Art juga menyatakan inisiatif “pertembungan karakter” ini telah dimulakan sejak tahun 2008 lagi,” tambah beliau lagi.

Rantai Art Event 2022 menutup tirai pentas acara dengan pelbagai aktiviti seni yang menarik. Selain aktiviti puisi, terdapat juga pameran seni, persembahan akustik dan bengkel menarik seperti Auntie Fruitcake’s Scrap Party Workshop. Vendor yang turut terlibat dalam acara tersebut terdiri dalam kalangan syarikat kraftangan dan hasil seni, pakaian dan syarikat jualan buku dan zine.

Dikhususkan buat generasi muda, Rantai Art adalah organisasi kesenian yang menganjurkan pelbagai acara pada setiap tahun, dengan matlamat adalah untuk melahirkan generasi yang dekat dengan seni budaya, di samping mengambil perhatian dan membuka ruang dan peluang untuk penggiat dan peminat seni berkarya.

Acara seni seperti Pesta Kechill Rantai, Rantai Art Event dan Pasar Raya Rantai adalah antara inisiatif Rantai Art. Manakala Rantai Art Festival merupakan acara terbesar yang dianjurkan secara tahunan yang melibatkan pameran galeri seni, pentas persembahan muzik, pentas deklamator puisi, pementasan teater, tayangan filem dan reruai kraf tangan.

Sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung yang hadir.

Sumber gambar dan video: Rantai Art.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.