11 Februari 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selaku orang yang pernah bekerja sebagai ketua editor di sebuah syarikat penerbitan, penulis dan juga penceramah bebas, Shukery Azizan sering memberikan ceramah motivasi atau membuat perkongsian ilmu berkaitan dengan penulisan, terutamanya penulisan manuskrip untuk diterbitkan sebagai buku.

Walaupun masih bergelar pelajar, hingga awal tahun 2022, Shukery Azizan telah berjaya menerbitkan 11 buah buku. Antara tajuk buku beliau yang tersenarai dalam buku terlaris ialah Ajari Aku Tinggal Maksiat dan Pujukan dari Tuhan. Lantaran kejayaan itu dan semangat mahu berkongsi ilmu tentang penulisan, Shukery telah menganjurkan webinar “Seni Menulis Buku Non Fiksyen” secara percuma melalui Google Meet pada 8 Februari 2022.

Dengan jumlah penyertaan lebih kurang 100 orang peserta, Shukery telah memberikan tip untuk membantu dan memudahkan peserta webinar memulakan penulisan, seterusnya menulis secara konsisten sehingga terhasilnya manuskrip buku yang lengkap. Menurut beliau, manuskrip yang lengkap ialah manuskrip yang sudah boleh diproses menjadi buku, iaitu meliputi pengenalan, isi teks dan penutup.

Melalui webinar yang berlangsung selama hampir dua jam itu, beliau turut bercakap tentang empat aspek penting dalam penulisan. Empat aspek tersebut ialah tiga “peraturan emas”, set minda, fasa sebelum, semasa dan setelah menulis, dan praktis membina kerangka dan mengembangkan idea. Sebelum membawa peserta mendalami empat aspek tersebut, Shukery menjelaskan terlebih dahulu perbezaan antara fiksyen dan bukan fiksyen, terutama dari aspek penulisannya.

Menurut Shukery, fiksyen ialah karya hasil ciptaan atau imaginasi penulis. Perkara yang ditulis itu tidak semestinya kisah benar dan kebiasaannya bertujuan untuk hiburan. Contoh yang diberikan ialah novel dan cerpen. Bukan fiksyen pula tulisan berkaitan dengan peristiwa atau kisah seseorang yang ditulis berdasarkan fakta. Karya bukan fiksyen biasanya untuk tujuan pendidikan dan bersifat ilmiah. Contohnya ialah jurnal, motivasi, agama, buku teks dan lain-lain.

Kemudian, peserta diajukan dengan soalan untuk difikirkan jawapannya oleh peserta sendiri, iaitu “Kenapa Nak Menulis?, “Nak Menulis untuk Siapa atau kepada Siapa?”, dan “Nak Menulis Apa?” Pada akhir webinar, Shukery memilih peserta secara rambang untuk menjawab soalan tersebut.

Apabila menerangkan set minda, Shukery menganalogikannya dengan tukul (alat untuk menetapkan set minda), si penukul (orang yang membina/merangka set minda), dan benda yang ditukul (hasil set minda). Menjelaskan analogi tersebut, tukul ialah alat yang menggerakkan minda untuk menulis seperti alat tulis, buku catatan, komputer dan bahan bacaan. Si penukul ialah penulis yang menulis berdasarkan kerangka yang telah ditetapkan manakala benda yang ditukul ialah penulisan itu sendiri. Berkaitan hal tersebut, Shukery menyatakan semua orang boleh menulis dan menjadi penulis. Walaupun masih belum berjaya membukukan apa-apa yang ditulis, teruskan menulis hal-hal yang mudah kerana yang penting, tulisan itu memberikan manfaat kepada orang yang membacanya.

Hal berkaitan dengan fasa sebelum, semasa dan setelah menulis pula merujuk perancangan penulisan. Pada fasa sebelum menulis akan timbul soalan bila mahu mula menulis dan bila tulisan akan selesai. Pada fasa semasa atau sedang menulis, penulis haruslah meneruskan penulisan sambil menyemak perkara yang telah ditulis untuk mengesan kesalahan bahasa dan fakta. Hal ini bertujuan untuk meminimumkan kesalahan yang terdapat dalam manuskrip setelah selesai penulisannya. Pada fasa setelah menulis, semak manuskrip itu secara menyeluruh. Pada fasa ini, beliau menggalakkan penulis menyerahkan manuskrip kepada orang lain atau editor untuk membantu membuat semakan dan suntingan.

Menjelaskan hal berkaitan dengan membina kerangka penulisan, tiga perkara yang menjadi tunjang utama kerangka, iaitu pendahuluan, isi penting dan penutup. Bagi penulisan buku bukan fiksyen, tiga perkara tersebut dibuat melalui pembahagian bab. Kemudian, Shukery berkongsi perkara yang perlu difikirkan dan dilakukan oleh penulis dalam hal mengembangkan idea. Antaranya termasuklah memberikan definisi, mengemukakan huraian penulis lain, menyandarkan huraian dengan testimoni penulis lain, melakukan kajian lapangan, membuat kajian kes dan menitipkan pengalaman.

Bagi menjadikan webinar ini berkesan, Shukery memberikan latihan ringkas kepada peserta dan latihan itu perlu disiapkan dalam masa 10 minit sebelum webinar melabuhkan tirainya. Sebagai penulis yang menguasai penulisan bukan fiksyen, Shukery yang lebih meminati penulisan berkaitan motivasi, tarbiah dan terapi jiwa berdasarkan al-Quran menerusi buku bertemakan agama. Buku terbaharunya yang bakal menemui pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 ialah Pujukan Buat Muslimah. Selain mengadakan ceramah penulisan dan motivasi, Shukery juga terkenal dengan programnya sendiri, iaitu Bengkel Penulisan Gaya Shukery Azizan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.