10 Disember 2021, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Bicara Karyawan: Bebaling yang dapat ditonton menerusi Studio Siaran Langsung DBP.

Kuala Lumpur – Bicara karyawan pada minggu ini memperkenalkan buku terbaharu hasil karya Putraery Ussin, iaitu Bebaling yang merupakan  himpunan cerpen remaja  beliau sejak tahun 1999 hingga 2020. Program tersebut diadakan pada 9 Disember 2021 (Khamis), pukul 12 tengah hari menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Putraery dalam bicara mengenai buku ini menjelaskan bahawa Bebaling adalah satu daripada 15 buah cerpen yang diinspirasikan berdasarkan permainan kanak-kanak iaitu ‘bebaling’. Cerpen ini berkisarkan kehidupan seorang remaja lelaki yang bekerja mencari pendapatan dengan berniaga sebelum waktu sekolah bermula, namun sedikit malang baginya apabila dibuli dan diejek rakan sebaya yang menggelarnya anak komunis.

Putraery Usin merupakan guru sekolah menengah yang telah berkhidmat selama hampir dua dekad tidak melepaskan peluang untuk menjadikan pengalaman tersebut sebagai ilham untuk menghasilkan penulisan. Beliau turut berkata, “Remaja bukan sahaja perlu dididik dengan kaedah tegas dan larangan semata-mata malah memerlukan bimbingan dan nasihat yang tersirat untuk mereka fikirkan.”

Berdasarkan kisah benar sepanjang menjadi guru, beliau turut berkongsikan bahawa cabaran dalam menulis bukan sahaja untuk mengembangkan idea berkisarkan tema remaja semata-mata, namun cabaran sebenar adalah lebih kepada proses menerbitkan karya selepas selesai ditulis untuk dikongsikan.

Menjadikan kenangan zaman kanak-kanak semasa membesar di Baling, penulis yang juga seorang pengembara turut mengambil inspirasi dari tempat beliau membesar sebagai latar tempat dalam cerpen yang bertajuk “Antara Dua Sungai”, iaitu idea penulisan itu terhasil semasa kunjungan beliau ke China yang mengingatkannya kepada kampung halaman lantas mengungkapkan perkara yang dilihatnya itu ke dalam karya.

Mengakhiri sesi itu, Putraery Ussin menegaskan bahawa pengalaman hidup sebagai inspirasi dalam berkarya adalah sangat berguna walaupun inspirasi tersebut merupakan idea yang biasa. Hal ini kerana kebijaksanaan penulis dalam mencorakkan watak dan perwatakan adalah faktor penting untuk menjadikan sesebuah cerita tersebut menarik untuk dibaca.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!