28 Oktober 2021, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan Peringkat Akhir turut menampilkan Dato’ Rahman Shaari dan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman.

“Petah berbicara dalam kamar mahkamah dan berbakat di luar mahkamah.” Inilah ungkapan yang dapat digambarkan buat lapan orang peserta yang telah terpilih dalam Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan Peringkat Akhir yang diadakan pada 27 Oktober 2021 menerusi Studio Siaran Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pemuisi Berkarya.

Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan yang diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Perundangan Tahun 2021 ini merupakan program anjuran Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia atau PEMUISI.

Program yang mencungkil bakat golongan profesional bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Perundangan ini diadakan dengan tujuan untuk menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan, selain bertujuan untuk menyemarakkan semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui kegiatan kebahasaan, kesusasteraan, seni, budaya serta menggalakkan penglibatan pelbagai jabatan, agensi atau persatuan untuk bersama-sama DBP memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

Antara peserta yang turut bertanding bagi merebut gelaran Johan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan bagi Program Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Perundangan 2021.

Sayembara yang membuka penyertaan buat pengamal perundangan seperti peguam, hakim, pendaftar, pensyarah dan pelajar undang-undang ini telah berjaya menonjolkan bakat berpuisi lapan orang peserta yang terpilih ke peringkat akhir, iaitu Mohd Wafiyuddin Al-Awal bin Musa (graduan undang-undang), Syed Muhammad Anwar bin Syed Lokman Hakim (Peguam Bela dan Peguam Syarie dari Tetuan Haffiz Zuhair & Co), Atikapuspha binti Sarkawi Ramli (Peguam Bela dan Peguam Cara dari Firma Guaman, Tetuan Chambers of Atika & Partners) Ahmad Hosni bin Mubara (Pensyarah            Undang-undang dari Kolej Antarabangsa Kuala Lumpur), Nor Asiya binti Nasir (Peguam Syarie dari Messrs Radzuan Ibrahim & Co),  Adharye bin Johari (Pegawai Undang-undang dari Negeri Sarawak), Dayana binti Chacho (Peguam Syarie dari Firma NM & Co) dan Mohd. Azree bin Mohd Ariffin (Eksekutif Undang-undang dan juga Anggota Tribunal Hak Cipta Malaysia).

Yang menariknya mengenai sayembara ini, para peserta berjaya menulis sendiri sajak yang dideklamasikan dan disampaikan dengan penuh bersemangat. Peserta juga dilihat berjaya membawa masyarakat untuk turut bersama-sama menghayati tajuk dan bait-bait sajak yang dinukilkan dalam bahasa kebangsaan dengan begitu indah dan teratur. Antara tajuk sajak yang dideklamasikan oleh peserta ialah “Wanita-wanita di Kamar”, “Pujangga Buat Sang Penghukum”, “Cerita dari Sebuah Lingua Franca”, “Keadilan Menjelma”, “Surat kepada Hakim”, “Kitalah Pahlawan Kebenaran”, “Bahasa Kebenaran” dan “Batasan Hukum”.

Program yang julung-julung kali diadakan oleh DBP bersama-sama dengan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan PEMUISI ini diharapkan dapat menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan persuratan Melayu dan seterusnya memperkasakan usaha untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masyarakat Malaysia. Program-program yang dilaksanakan dalam Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Perundangan ini juga diharapkan akan dapat memberikan pendedahan, pengetahuan, dan kemahiran seterusnya mempersegar penghayatan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, khususnya kepada pengamal perundangan di Malaysia.

Tonton pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.