25 Oktober 2021, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Bicara Karyawan pada kali ini mengulas tentang buku Himpunan dan Ulasan Cerpen yang dinukilkan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mawar Safei yang juga merupakan pengulas bagi ruangan cerpen majalah Dewan Siswa dari tahun 2007 hingga kini. Rancangan Bicara Karyawan yang diadakan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 12 tengah hari tadi turut menampilkan Fadhli Al-Akiti sebagai moderator pada program tersebut.

“Apabila saya menerima cerpen daripada editor, saya akan meneliti dan mengulas untuk melihat apakah kekuatan sesebuah cerpen tersebut. Selain itu, saya turut melihat tentang pemikiran dan teknik yang ingin dibawa oleh penulis tersebut,” ulas Dr. Mawar. Ini kerana pendekatan tersebut amat penting untuk mengenal pasti apakah kekuatan cerpen tersebut dan pedoman yang ingin dibawa oleh penulis dalam menghasilkan sesebuah cerpen.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa setiap cerpen mempunyai sisi kelemahannya yang tersendiri. Beliau turut berkongsi ketika mempelajari tentang teknik ulas dan kritik cerpen daripada Allahyarham Dr. Othman Puteh yang menekankan aspek menyantuni cerpen tersebut tanpa melemahkan semangat penulis. Ini amat penting dalam meningkatkan semangat penulis, terutamanya penulis pemula untuk terus berkarya.

Terdapat beberapa nama penulis yang berjaya menarik perhatian beliau ketika mengulas cerpen dalam majalah Dewan Siswa, antaranya ialah Muzaf Ahmad. Antara yang menarik tentang cerpen Muzaf ialah beliau berjaya menghasilkan perlambangan Jepun dalam cerpen beliau dengan begitu baik sekali. “Kemenangan Muzaf dalam Anugerah MASTERA secara tidak langsung telah menjadikan beliau sebagai pendorong kepada penulis pemula untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti,” ujar Dr. Mawar.

Sidang editor Tunas Cipta pernah mewawancara Muzaf Ahmad dalam ruangan “Borak Orang Muda” pada Bil. 02/2020.

“Meskipun Muzaf bukan berlatar belakangkan bidang sastera, namun beliau telah berjaya menghasilkan karya sastera yang begitu cantik dan baik sekali,” tambah Dr. Mawar Safei ketika mengulas tentang kehadiran penulis pemula dalam bidang sastera. Kehadiran penulis pemula yang mempunyai pelbagai disiplin ilmu dilihat berjaya menghasilkan sesebuah karya dari dimensi yang berbeza dan sekali gus memberikan pembaca pengakhiran cerita yang berada di luar kelaziman.

Dr. Mawar turut berkongsi tentang cerpen yang bertajuk “286” yang terdapat dalam Himpunan dan Ulasan Cerpen. “Cerpen tersebut mempunyai banyak pengulangan ayat al-Quran dan menurut saya ia sesuatu yang baik kerana dalam sesebuah cerpen harus mempunyai nilai lain yang boleh dijadikan sebagai nasihat dan panduan,” ulas Dr. Mawar secara spontan berkaitan cerpen yang terdapat dalam buku tersebut.

 

Buku Himpunan dan Ulasan Cerpen menghimpunkan 20 buah cerpen yang terpilih dan pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa.

Buku Himpunan dan Ulasan Cerpen yang menghimpunkan 20 buah cerpen itu boleh didapati melalui Portal DBPNiaga. Tonton siaran penuh Bicara Karyawan: Himpunan dan Ulasan Cerpen melalui pautan ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi