Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Abstrak seni pantun memang mempunyai nilai yang tinggi dalam masyarakat penutur bahasa Melayu. Pengucapan pantun secara fizikalnya sendiri memerlukan penggunanya untuk berfikiran kritis juga bijaksana secara amnya. Dalam sejarah bahasa Melayu, didapati penggunaan pantun dalam seni nyanyian merupakan dapatan yang menarik dan wajar diwacanakan. Pengkaji dan penggiat sarjana bidang Melayu telah mengerjakan palma dan minda untuk mengukuhkan lagi premis wacana ini, di samping mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan ilmu dan sejarah budaya bangsa.
Dilangsungkan sebuah bual bicara bertajuk “Pantun Dalam Lagu Rakyat” anjuran Jawatan Kuasa Pelaksana Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu dan Jabatan Persuratan Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) pada Sabtu baru-baru ini. Turut disertai Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Nor Asilah binti Osman yang menyampaikan ucaptama program. Bual bicara yang dianjurkan secara dalam talian ini dikemudi oleh Datin Padlon binti Abdul Rahman.
Dr. Shafa’atussara Silahuddin yang merupakan pensyarah kanan di Akademi Pengajian Melayu di Aswara juga dikenali ramai sebagai penyanyi lagu tradisional tempatan berkata, “Pantun dalam nyanyian lagu Melayu Asli memperlihatkan rasa bangga dan cinta yang mendalam terhadap bahasa ini. Masyarakat berbahasa Melayu yang serantau Asia Tenggara lokalitinya, menempatkan khazanah berupa seni kata pantun dalam lagu tradisional mereka, masing-masing dengan dialek-dialek yang tersendiri.”
Lirik seni suara yang paling asas dalam budaya Melayu adalah pantun yang boleh diibaratkan sebagai jiwa suara hati orang Melayu. Pantun boleh dikatakan sebagai ibu bagi suara seni dalam bahasa Melayu. Pantun juga sesuai untuk digunakan pengucapnya untuk meluah perasaan.
Pengalaman beliau ketika turun ke lapangan kajian pantun dalam nyanyian lagu Melayu Asli ini juga menemukan beliau ke satu bumi yang subur dengan sejarah dan budaya Melayu. “Di Kabupaten Pelalawan, Riau, Indonesia, masyarakat tempatan mereka pada hari ini masih lagi membuat persembahan nyanyian lagu Melayu dengan lirik beridentitikan pantun. Tidak dapat dinafikan bahawa seni kata pantun mampu membangkitkan jiwa pendengarnya,” jelas Dr. Shafa’.
Wajar diambil maklum, kaedah nyanyian lagu pantun ini akan dimasukkan partikel-partikel tambahan seperti ‘aduhai’, ‘lah’ dan ‘sayang’ serta mempunyai rangkap berulang-ulang untuk menyampaikan seni nyanyian. “Kenapa ada pengulangan dalam beberapa rangkap dan perkataan tertentu untuk nyanyian lagu pantun Melayu ini adalah kerana, itulah budaya dan cara orang Melayu untuk menyampaikan makna tertentu yang ingin ditekan dan diambil berat,” ulas beliau.
Keindahan estetika dan kepuitisan pantun serta apakah falsafah di sebalik seni ini, dikupas oleh Mohd Fauzi bin Abdullah, yang juga merupakan penggiat dalam ranah persuratan Melayu khususnya dalam bidang kesusasteraan iaitu Puisi Tradisional dan Bahasa Melayu.
Berbincang tentang ini, Fauzi berasakan bahawa konsep yang dibawa dalam garapan seni pantun dan lagu rakyat ini adalah sosiobudaya yang dibawa bersama. Tambahnya lagi, satu ketika dahulu, melalui pantun dan budaya seni inilah, kehidupan harmoni terbentuk dan jalinan antara masyarakat terjalin.
Rangkap dalam lagu Melayu tradisional berbunyi ‘rakyat’ dan memanggl-manggil rasa bermasyarakat. Kanak-kanak berlari bersama dan yang dewasa berkumpul berbincang dan bertukar pendapat. Kesemua aktiviti masyarakat dahulu dinyanyikan dalam lagu Melayu Tradisional. Mudahnya, mendengar dan mengamati lagu rakyat ini seakan-akan belajar dengan ‘rakyat’ dahulu. Fauzi menyambung, “Menikmati pantun pula ibarat dididik oleh alam. Falsafah di sebalik alam dan sifat manusia, atau kehidupan masyarakat di satu-satu waktu adalah antara falsafah yang terkandung dalam seni ini.”
Malah, beliau berpendapat bahawa inilah antara faktor mengapakah lagu rakyat digunakan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di peringkat sekolah rendah. “Kita sengaja ambil lagu rakyat sebagai bahan PdP supaya guru mempunyai ruang dan peluang untuk menerangkan kepada pelajar berkenaan sosiobudaya dan keindahan kehidupan masyarakat yang digambarkan dalam lagu rakyat,” ujar Fauzi. Ini kerana apabila guru mengajar lagu rakyat buat pelajar, seharusnya mereka menyentuh sosiobudaya yang terdapat dalam lagu-lagu ini.
Menyentuh PdP menerapkan pantun buat pelajar, Dr. Azman bin Rahmat, penggiat sarjana persuratan Melayu yang berkhidmat sebagai pensyarah di IPGKBM pula membuat pembentangan berkenaan piawaian pembelajaran dan pengajaran berkaitan pantun kepada pelajar sekolah. Dalam pembentangan beliau ini juga, seorang guru Bahasa Melayu, Khuzaimah Halim menceritakan pengalaman beliau dalam mendidik murid-murid sekolah rendah berkenaan seni pantun.
“Saya mula meminati pantun setelah saya mendalami dengan lebih mendalam tentang seni pantun di IPGKBM. Kita perlu dedahkan kepada generasi muda tentang apakah harta dan nilai intelek yang ada pada bangsa kita. Walaupun posisi saya kini sebagai guru sekolah rendah, saya percaya yang ilmu dan minat ini sangat bermain peranan jika ia diterapkan lebih awal,” jelas Khuzaimah.
Azman juga menegaskan, “Peranan kita dalam melestarikan jiwa cinta pantun pada masyarakat adalah perlu untuk diambil berat, dan bertindak selaras dengan peranan. Sebagai pendidik, mewakili IPGKBM, untuk menerapkan kandungan kursus dan pembelajaran kepada generasi baharu adalah kunci dalam merakyatkan elemen budaya dan sastera kepada mereka. Peranan untuk melahirkan penyair juga dapat direalisasikan melalui penganjuran kursus, bengkel dan membimbing penyair muda yang ramai di ranah tempatan.
Tonton bual bicara penuh di sini