15 April 2021, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bengkel tersebut diadakan menerusi aplikasi ZOOM.

10 April 2021 (Aplikasi Zoom) – Atas nama berjihad melalui penulisan, anak muda yang menganggotai WARAK dan PAPISMA menganjurkan Bengkel Penulisan Anekdot secara dalam talian. Istimewanya, bengkel ini dibimbing oleh penulis muda yang meminati dunia penerbitan buku, iaitu Rasydan Fitri. Walaupun dikenakan yuran sebanyak RM20 untuk orang awam dan RM10 untuk ahli PAPISMA, ternyata bengkel ini dapat menarik ramai peserta yang meminati genre penulisan anekdot. Dengan slogan “Panggilan Penulisan Buku Anekdot”, bengkel ini berjaya menarik 120 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar pekerjaan.

Dalam bengkel tersebut, Rasydan berkongsi tip menulis anekdot. Menurut Rasydan, anekdot ialah cerita pendek yang ringkas dan ditulis berdasarkan pengalaman sebenar atau peristiwa benar yang berlaku dalam hidup seseorang. Lazimnya, kisah yang  ditulis adalah menghiburkan dan kebiasaannya diselitkan dengan elemen lucu dan sindiran. Sebagai individu yang sudah banyak menerima karya anekdot dan gemar membaca karya genre tersebut, Rasydan melihat penulisan anekdot di Malaysia sudah lari daripada maksud, bentuk dan kepanjangan anekdot yang asal dan yang difahami oleh khalayak berdasarkan takrifannya dalam kamus.

Bimbingan yang dilihat sangat membantu peserta dalam menghasilkan anekdot adalah yang berkaitan dengan panduan seperti mengapa menulis anekdot, penulisan anekdot yang berkesan dan proses penulisan anekdot yang merangkumi langkah memulakan penulisan, membina cerita, mengembangkan cerita, memilih gaya bahasa, dan bentuk penulisan (dialog atau naratif). Bagi menaikkan semangat para peserta, Rasydan juga menunjukkan beberapa contoh anekdot yang laris jualannya, terutama semasa berlangsungnya pesta atau ekspo buku. Buku anekdot yang dikongsi oleh pengkarya muda itu ialah Drama Wonder Emak, Buku Pink dan Kru dari Langit.

Sebagai panduan kepada peserta bengkel untuk menulis anekdot, pihak urus setia telah menetapkan beberapa tema bagi memudahkan peserta memikirkan cerita yang hendak diolah menjadi anekdot. Tema yang ditetapkan ialah perubatan, suri rumah, kerjaya, kembara dan motivasi. Selain tema, templat penulisan juga disediakan untuk peserta bengkel menghasilkan anekdot dalam lingkungan antara 8000 hingga 10 000 perkataan. Peserta bengkel juga diberikan carta perbatuan penulisan anekdot dan tarikh akhir penyerahan anekdot masing-masing, iaitu pada 15 Mei 2021. Bagi menghargai usaha peserta bengkel penulisan anekdot ini, buku anekdot yang dirancang itu juga akan dilancarkan pada Januari 2020.

Atas inisiatif pengkarya muda yang menghargai bakat penulisan karya kreatif genre anekdot, bengkel yang terlaksana merupakan hasil usaha gabungan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Exco Wanita Remaja dan Kanak (WARAK) dan Kata-Pilar Books.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.