11 April 2021, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nurul Julia

10 April 2021 – Kuala Lumpur. Bagi memeriahkan pengisian dan menambah prestij pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (Kuala Lumpur World Book Capital, KLWBC), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah menganjurkan Sayembara Penulisan Puisi dan Novel KLWBC 2020. Sejak diumumkan oleh PENA selaku urus setia, sayembara ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penulis Malaysia. Buktinya, PENA telah menerima 293 manuskrip kumpulan puisi dan 194 buah manuskrip novel menjelang detik tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2020. Sayembara ini mencipta sejarah dengan penganjuran yang bertemakan bebas dan tiada had halaman manuskrip. Namun begitu, pihak urus setia mengingatkan penulis bahawa mereka perlu bijak dan munasabah membina naratif yang sesuai dalam karyanya. Sayembara ini mengangkat matlamat untuk menghasilkan karya dalam genre puisi moden dan novel sebagai manifestasi kepada kecemerlangan mutu sastera Malaysia, selain membukukan bahan bacaan yang terbaik kepada masyarakat.

Sayembara ini menawarkan tiga hadiah utama kategori novel bernilai RM14 000 setiap satu, manakala lima hadiah sagu hati menerima RM4600 bagi setiap karya terpilih. Bagi kategori antologi puisi, tiga hadiah utama menerima RM7000 setiap satu dan lima hadiah sagu hati bernilai RM3800 setiap satu. Bagi kumpulan puisi, temanya juga bebas dengan jumlah 40 buah sajak. Genrenya pula puisi moden dan dewasa.

Dalam ratusan manuskrip yang diterima oleh pihak urus setia, ternyata ada penulis muda yang memberanikan diri menyahut cabaran yang ditawarkan oleh PENA melalui sayembara tersebut. Hasilnya, beberapa nama penulis muda diumumkan sebagai pemenang bagi kategori yang dipertandingkan. Ruhaini Matdarin yang pernah menghiasi kulit hadapan majalah Tunas Cipta bagi keluaran Januari 2020 memenangi hadiah penghargaan kategori novel melalui karyanya yang berjudul Akhir dan Awal yang Berlawanan. Kategori puisi pula memperlihatkan nama Mohamad Shafiq, yang memenangi hadiah penghargaan dengan kumpulan puisinya yang berjudul Matahari Bunga Terlarang. Mohamad Shafiq tampil sebagai penghias kulit hadapan Tunas Cipta keluaran Ogos 2020.

Kuala Lumpur di Sebalik Bulan berjaya memenangi hadiah utama bagi kategori cerpen.

Hafizah Iszahanid memenangi hadiah utama kategori novel dengan karyanya yang berjudul Kuala Lumpur di Sebalik Bulan. Bersama-sama Hafizah ialah dua lagi pemenang, iaitu Mahizan Husain melalui karyanya, Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang dan Amer Hmzah L Kadir dengan novelnya, Selarik Hikayat. Jasni Matlani melalui puisi Minotaur yang Bijaksana dalam Labirin Pulau Kami mengetuai barisan pemenang kategori puisi. Mengikuti Jasni ialah Nazri Hussein atau Husna Nazri dengan puisinya, Ratib Fakir dan Qasidah Zikir Terakhir dan puisi Dalam Mimpi yang Bermimpi karya Indra Jokina.

Hadiah kepada para pemenang sayembara disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, yang merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 (SKPM-2) bersempena dengan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia (KLWBC) di Rumah PENA. Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehudin Abg. Shokeran dan Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Ternyata, barisan nama pemenang sayembara memperlihatkan penulis muda yang prolifik seperti Hafizah, Roslan Jomel, dan Ruhaini Matdarin, dan penulis muda yang meningkat naik seperti  Mohamad Shafiq. Kemenangan tersebut membuktikan bisa sengatan karya penulis muda dirasai oleh penilai sayembara sehingga memilih karya mereka sebagai pemenang Sayembara Penulisan Puisi dan Novel KLWBC 2020.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.