Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Enam orang peserta bakal berentap di pentas akhir Pantun Lakon Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) 2024 pada 10 Oktober 2024 ini.
Pertandingan akhir yang menawarkan RM 15,000 akan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur bersempena dengan ulang tahun BSN yang ke-50.
Semua peserta yang menyertai pertandingan ini telahpun memuat naik video penyertaan masing-masing melalui media sosial bermula 22 Ogos 2024 hingga 15 September 2024 yang lalu dan disaring untuk pemilihan peserta akhir oleh juri-juri yang telah dilantik.
Antara peserta yang terpilih ke peringkat akhir adalah pemilik akaun Tiktok; “nisaoden”, “zekreyy” dan “Izzah J”.
Sementara itu, tiga orang peserta yang lain merupakan pemilik akaun Instagram dengan nama “whatnaznl”, “Affiq Norshamsudin” dan “greentealater”.
Berdasarkan rekod, pertandingan ini merupakan pertandingan kali kedua setelah berjaya dilaksanakan dengan meriah buat pertama kalinya pada tahun 2023.
Peserta akhir akan bertanding secara bersemuka dan perlu berlakon serta berpantun secara spontan di hadapan penonton kelak.
Terdahulu, pertandingan Pantun Lakon merupakan gabungan elemen mengungkapkan pantun dan lakonan yang bersesuaian dengan tema.

Hal ini menjadikan pertandingan ini cukup menarik dan konsep ini berjaya menonjolkan kreativiti peserta dalam memastikan lakonan adalah bertepatan serta bersesuaian dengan ungkapan pantun yang disediakan.
Pembaharuan kaedah penyampaian pantun ini juga menjadi penanda aras yang baik untuk aktiviti kesusasteraan di Malaysia agar terus dijulang demi menarik minat lebih ramai generasi muda dan remaja.
Penggunaan media sosial dan galakan penghasilan video merupakan pendekatan yang sesuai dan tepat dengan gaya hidup moden kini lantas secara tidak langsung menyokong usaha untuk terus melibatkan diri dalam kecerdasan buatan.
Pertandingan akhir ini turut boleh disaksikan secara langsung di pautan https://www.facebook.com/share/uGcFp1XwCBzBPBPD/ ataupun melalui media sosial rasmi DBP.