Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Puisi bukan hanya luahan perasaan atau sekadar khayalan, sebaliknya mampu menjadi rakaman peradaban sesebuah bangsa.
Hal ini diungkapkan oleh Muhammad Lutfi Ishak, penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA (Malaysia) 2023, ketika berkongsi perkembangan kreatifnya sebagai seorang penyair melalui kertas kerjanya, “Pengalaman dalam Puisi: Dari Perjalanan Berkabut ke Jarum Semesta”.
Perkongsian itu yang dibuat sempena Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi, di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka pada 11 Februari yang turut mengungkapkan perjalanan peribadi penyair itu dalam meneroka puisi.
Beliau berkata, secara umumnya, bagi penyair walaupun puisi selalu dilihat sebagai medium menyampaikan perasaan, akan sampai satu masa puisi juga boleh dijadikan alat untuk memperkatankan pemikiran.
“Puisi adalah gambaran manusia mempunyai fikiran, perasaan dan yang menjadikan manusia itu istimewa bukanlah kerana dia memiliki perasaan tetapi fikiran,” katanya.
Berkongsi perjalanan peribadinya mengenali puisi, Muhammad Lutfi berkata, beliau pertama kali “berjumpa” puisi ketika usianya sekitar sembilan ke 10 tahun.
Perjumpaan tidak sengaja itu menerusi antologi Penjuru Mata, iaitu sebuah teks sastera yang digunakan di sekolah ketika itu.
“Dalam antologi itu, saya ‘jumpa’ sajak A. Wahab Ali, sebuah sajak pendek yang memberikan saya satu pengalaman yang menarik walaupun saya tidak memahami maksudnya.
“Sebagai anak kampung yang duduk jauh di Baling, hiburan saya waktu itu salah satunya adalah buku. Saya banyak membaca buku sejarah, fiksyen tetapi pengalaman itu tidak sama seperti pengalaman membaca sajak berkenaan,” katanya.
Seiring usia katanya, beliau semakin memahami sajak dan mengenali sajak bukan sekadar luahan perasaan tetapi pemikiran.