Diterbitkan pada 12 September 2025, 22:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – Sebanyak sembilan penulis karya kreatif diumumkan sebagai Pemenang Utama Hadiah Sastera Selangor (HSS) bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 melibatkan tiga genre yang dipertandingkan, iaitu cerpen, sajak dan esei.

Setiap karya yang dinilai adalah berdasarkan pemilihan daripada karya terbitan SelangorKini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta serta portal sastera Tukang Puisi.

Sementara itu, sebanyak 27 penerima Hadiah Penghargaan turut diumumkan bagi hadiah tersebut yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang, malam tadi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama dalam majlis tersebut termasuklah Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn. Bhd., YBrs. Encik Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Karya Tunas Cipta yang berjaya merangkul tiga Hadiah Penghargaan adalah melalui Khoo Phau Liang (sajak “Menjadi Matahari”) bagi tahun 2022, A. Muziru Idham (esei “Nota Sulit Menyelongkar Renungan Rasa dan Kritikan Sastera”) dan Dr. Norman Yusoff (esei “Sastera dalam Seluloid”) bagi tahun 2024.

Yang berikut merupakan senarai Pemenang Utama HSS bagi tiga genre mengikut tahun:

Cerpen

2022 – Zainal Rashid Ahmad (“Matinya Sepasang Anjing Jadian”, Dewan Sastera)

2023 –  Nurimas SN (“Enuresis”, SelangorKini)

2024 –  Lokman Hakim (“Tivi Rafah”, SelangorKini)

Sajak

2022 –  Nasser Mikraj (“Klise Encik Ben”, SelangorKini)

2023 –  Ariff Mustaffa Hamzah (“Parabellum”, SelangorKini)

2024 –  Ariff Mustaffa Hamzah (“Malam dan Matahari”, SelangorKini)

Esei

2022 –  Qurratul ‘Ain (“Mencari Makna Umpanan Kemaafan Lewat Karya Sastera”, SelangorKini)

2023 –  Johan Radzi (“Melayu Desa Melayu Kota”, SelangorKini)

2024 –  Qurratul ‘Ain (“Semuanya Telah Diungkapkan”, SelangorKini)

Pemenang utama bagi setiap genre menerima hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, manakala 27 Hadiah Penghargaan RM1,500 setiap seorang menjadikan keseluruhan hadiah yang diperuntukan sebanyak RM94,500.

HSS diperkenalkam hasil ilham YAB Dato’ Seri Amirudin sejak tahun 2015 semasa beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Selangor.

Hadiah tersebut dianjurkan dengan penyertaan DBP dan Tukang Puisi bagi mengiktiraf pencapaian penulis kreatif selain mendorong perkembangan karya sastera berkualiti tanah air.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan