Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepala Batas – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Maahad Al-Imam An-Nawawi menganjurkan Program Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Penulisan Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang sebagai usaha melahirkan generasi penulis pelapis di negeri itu.
Program yang disertai oleh lebih 50 pelajar dari beberapa sekolah menengah di negeri itu diadakan di Dewan Maahad Al-Imam An-Nawawi dan terbahagi kepada tiga slot, iaitu bengkel penulisan kreatif, sesi bacaan karya dan perkongsian pengalaman untuk menjana input yang membina.

Pensyarah dan penyair, Sdr. Nimoiz T.Y yang membimbing program tersebut selama hampir lima jam, menekankan aspek asas dan teknik penulisan puisi di samping memupuk semangat minat menulis, membaca dan mencintai sastera dalam kalangan para peserta.
Beliau berkata, menulis puisi bukan sekadar mencatat peristiwa semata-mata, tetapi jiwa puisi itu sendiri berperanan sebagai medium membimbing manusia memahami makna apresiasi, keindahan serta seni.
“Menurut seorang penulis Barat, Joseph Brodsky, sastera sebenarnya bermula dengan puisi, maka hayatilah puisi sebelum kita mampu menghayati sastera.
“Puisi merupakan karya yang paling ringkas berbanding genre-genre lain seperti cerpen, novel, drama atau sebagainya. Namun ia mampu mengungkapkan pengalaman manusia selain pencapaian tertinggi dalam bidang bahasa,” jelasnya.
Tambahnya, dari sudut syariat Islam pula, dunia penulisan merupakan salah satu medium dakwah untuk para penulis menyebarkan ilmu kepada orang ramai.
“Setiap karya ialah ilmu yang ditulis dengan tinta. Jika penulisnya jujur, maka ilmu itu akan sampai kepada masyarakat,” katanya.
Pada masa yang sama, Nimoiz turut menekankan penulis muda harus berani mendepani zaman melestarikan karya, seiring dengan ledakan teknologi yang kian mencabar dari semasa ke semasa.
“Zaman berubah, medium bertukar. Namun begitu, tulisan yang lahir daripada hati akan tetap hidup. Penulis muda perlu berani untuk menulis dengan akal budi, bukan sekadar mengejar populariti,” ujarnya.
Sementara itu, semasa dihubungi beliau berkata, sambutan hangat peserta terhadap program tersebut mencerminkan bahawa negeri Pulau Mutiara itu semakin rancak membentuk bakat sastera melalui sokongan institusi bahasa dan budaya.
Beliau berkata, usaha melahirkan generasi penulis baharu tidak lagi hanya bergantung pada semangat individu, tetapi turut didukung oleh wadah kolektif yang menjadikan penulisan sebagai medan perjuangan membina masyarakat Madani.