8 Januari 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Ahmad Farihan Abdul Manan

Jengka – Bermula daripada Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas yang dianjurkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), seorang daripada peserta bengkel, Suzana Mohd Suboh tampil dengan berani menerusi pementasan Pelanduk Terakhir sebuah naskhah hasil karyanya sendiri.

Selaku pengarah, Suzana yang lebih mesra dikenali sebagai Suezanna MS bukanlah satu nama asing dalam dunia teater negeri Pahang.

Watak Pak Kadir lakonan Salman Zaki, bidan terjun bagi menggantikan seorang pelakon yang dikejarkan ke hospital.

Karya beliau pada kali ini mengisahkan perjuangan seorang penari Tarian Pelanduk bernama Mahdi, yang berusaha mempertahankan tarian warisan tersebut daripada terus dilupakan. Tarian Pelanduk, yang semakin pudar ditelan waktu, hanya memiliki segelintir penggiat yang terus berjuang untuk memastikan ia kekal hidup.

Mahdi yang merupakan watak utama dalam pementasan ini, berusaha keras agar warisan ini tidak lenyap. Namun, usaha murninya mendapat tentangan daripada penduduk kampung, terutamanya Sabariah yang melarang anaknya, Fateh, daripada mempelajari Tarian Pelanduk dengan Mahdi.

Bagaimanapun, akhirnya Sabariah akur dan memberikan sokongan kepada Fateh serta rakan-rakan untuk bergabung kembali dengan Mahdi dalam usaha melestarikan tarian tersebut.

Barisan pelakon dan tenaga produksi pementasan Pelanduk Terakhir.

Pementasan Pelanduk Terakhir yang berlangsung pada 13 dan 14 Disember lalu di Dewan Indera Segera, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, berjaya direalisasikan hasil kerjasama Kelab Estetika Budaya UiTM Kampus Jengka bersama DPMP Kawasan Kuantan dengan sokongan dari Majlis Kebudayaan Negara (MKN) Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Menurut Suezanna MS, kejayaan pementasan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama semua pihak yang terlibat. Beliau berkongsi,

Antara cabaran yang kami (produksi) hadapi termasuklah apabila salah seorang pelakon utama terpaksa dikejarkan ke Hospital Jengka kurang dari 24 jam sebelum pementasan dan digantikan oleh anggota produksi. Namun, saya bersyukur kerana segala perancangan dan isi naskhah dapat dipindahkan ke pentas dengan baik. Sambutan penonton, terutamanya warga kampus UiTM Jengka, juga amat menggalakkan sepanjang dua hari pementasan berlangsung.

Kejayaan pementasan pada kali ini memberikan suntikan semangat kepada Suezanna MS untuk membawa Pelanduk Terakhir ke pentas yang lebih besar di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada April 2025.

Suezanna MS (pengarah) menyampaikan cenderahati Pelanduk Terakhir kepada Encik Zulkifli Husin selaku wakil rasmi Pengerusi MKN.

Pementasan ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa, Juara Gimme The Mic Malaysia, Farhan Mustapha yang membawakan beberapa lagu termasuk single terbaharunya, Mutiara Hati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.