27 Disember 2024, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nur Asma Batrisyia Idris

Bangi – Dalam usaha untuk menyebarluaskan pengetahuan dan kepentingan penggunaan dialek dan bahasa kepada masyarakat, pelajar Linguistik tahun akhir di bawah Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik (PKBL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan sebuah Pameran Dialektologi.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 18 hingga 20 Disember 2024, menyajikan sebanyak tiga aktiviti utama antaranya termasuklah, pembentangan poster dialektologi, persembahan kebudayaan dan sesi Ikatan Mesra bersama-sama pensyarah.

Sebanyak 10 poster daripada 10 kumpulan pelajar Linguistik tahun akhir telah dipamerkan dalam sesi pembentangan dialektologi yang bertujuan untuk mengangkat ilmu dialek dan bahasa kepada khalayak umum.

Sesi pembentangan poster oleh pelajar Linguistik tahun akhir kepada pengunjung pameran.

Pembentangan ini telah dinilai oleh dua orang pensyarah Lingusitik iaitu Dr. Harishon Radzi dan Dr. Anis Nadiah Che Abdul Rahman yang merangkumi aspek seni persembahan, kreativiti penghasilan poster dan pembentangan lisan daripada para peserta.

Sesi penyampaian hadiah oleh pensyarah Dialektologi Dr.Mohammed Azlan Mis kepada kumpulan yang memenangi tempat pertama poster tercantik.

Sebagai sebahagian daripada program kebudayaan, majlis turut diserikan dengan persembahan tarian Inang Seringgit Dua Kupang sebagai pembuka acara, diikuti dengan tarian Minang oleh pelajar mobiliti dari Universiti Andalas (UNAND).

Sekumpulan pelajar tahun akhir Linguistik mempersembahkan tarian Minang sebelum pembentangan poster dialektologi bermula.

Selain aktiviti akademik dan kebudayaan, sesi Ikatan Mesra turut diadakan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar dengan pensyarah melalui permainan seperti “Goreng Pisang dan “Werewolf” sebagai satu daripada cara untuk peserta berseronok dan memperkukuhkan ikatan persahabatan.

Keseragaman dan kebersamaan yang terjalin seusai sesi Ikatan Mesra antara pelajar dengan pensyarah jelas terpancar.

Melalui pameran ini, para pelajar bukan sahaja dapat memperolehi ilmu dalam bidang dialektologi tetapi juga membina jalinan persahabatan yang akan terus mekar sepanjang hayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.