Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNILAI – Pasukan Pantun Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam terus mengukir nama di persada kebangsaan apabila berjaya meraih Naib Johan di Pertandingan Berbalas Pantun Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2024.
Pencapaian manis ini kembali mengulangi kejayaan mereka pada tahun lalu, sekali gus memperkukuhkan kedudukan pasukan ini sebagai satu daripada pasukan yang disegani dalam arena pantun undang-undang.
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Muhammad Hariri Mohamad Nasir, pasukan berbakat ini dianggotai oleh empat bintang muda antaranya ialah, Nurdianah Anisha Awang Samsudin, Mohamad Raffiq Rosli Mohamad Rosli, Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah dan Arif Haiqal Roslan
Acara ini berjaya meletakkan seni pantun sebagai jambatan yang menghubungkan bidang sastera dan undang-undang dengan mengasah kebijaksanaan perundangan serta keindahan seni bahasa Melayu yang luhur.
Lebih membanggakan lagi, apabila seorang daripada anggota pasukan, Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah, berjaya dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik pada tahun ini, secara tidak langsung menambah seri kejayaan pasukan UiTM Shah Alam.
Di sebalik kejayaan pasukan ini, UiTM Law Society, kelab dalaman Fakulti Undang-Undang yang dipimpin oleh Mimi Sintia Mohd Bajury dilihat memainkan peranan penting dalam menguruskan segala persiapan dan strategi.
Pertandingan Berbalas Pantun Undang-undang anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Badan Peguam Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini berjaya memadukan ilmu undang-undang dan kehalusan seni berpantun sebagai medan menguji kemahiran berbahasa.