28 November 2022, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ruang santai Open Mic Tokosue.

Kuala Lumpur – “Nikmati Buku, Raikan Seni” dibuktikan Tokosue dalam acara “Open Mic” yang berlangsung pada 27 November 2022 bertempat di Aras 1, Wisma Central, Kuala Lumpur. Acara ini mengumpulkan pemuisi dan penulis muda yang memerlukan pelantar bagi mereka mengetengahkan karya seni dan emosi mereka di ruang Tokosue.

Mengetengahkan konsep open mic, Tokosue, Terbitan Langit dan Kumandang Zine turut bekerjasama untuk memastikan mana-mana penulis atau pemuisi muda yang mahu memperkenalkan karya dan diri mereka dialu-alukan tanpa sebarang syarat dan bayaran.

Jasad yang merupakan penulis dan wakil daripada Terbitan Langit mengatakan bahawa,

Ada sesetengah penulis atau pemuisi muda, mereka mempunyai karya yang baik dan berkualiti, tetapi mereka tidak tahu di mana mereka boleh kongsikan karya mereka. Maka, objektif kami mengadakan acara ini adalah untuk membolehkan mereka terus berkarya dan rasa dihargai walaupun sebagai seorang penulis atau pemuisi pemula.

Persembahan puisi dan muzik oleh Jay Tan dan persembahan akustik oleh Nina Fadzhil.

Kali ini, program “Open Mic” banyak memperkenalkan penulis pemula atau pemuisi muda untuk mengisi acara yang bermula dari pukul 2.00 petang hingga 7.00 malam secara santai. Kebanyakan pemuisi dan penulis ini, mereka bermula sebagai penonton dalam acara tersebut untuk tahun yang lalu, dan kini mereka kembali untuk beraksi di ruang kecil Tokosue dengan karya mereka sendiri.

Berpendapat bulan November merupakan bulan yang sering hujan, warna-warni dijadikan sebagai tema pakaian pada acara kali ini. Program “Open Mic”  telah menampilkan sebanyak 14 penulis muda yang tidak hanya berkongsi bacaan puisi  dan lirik hasil karya mereka, tetapi juga persembahan lain antaranya seperti ahli silap mata oleh pm Rafique, nyanyian akustik oleh Panggung Cherita serta bacaan puisi dan muzik oleh Jay Tan.

Nana Marcona merupakan penulis muda yang baharu pertama kali mengadakan persembahan. 
Penulis muda Lykafutra.

Selain baca puisi dan nyanyian akustik, acara ini turut menampilkan kelainan dalam pemilihan persembahan, iaitu bacaan cerpen “Malaywood” karya Roslan Jomel oleh Safwan Suhardy petang semalam.

Baca Cerpen “Malaywood” oleh Safwan Suhardy

Walaupun ruang di Tokosue agak terhad, namun sambutan yang diterima dalam kalangan penulis dan pemuisi muda ini sangat memberangsangkan. Hal ini membuktikan bahawa betapa ramai anak muda dengan karya yang cukup baik dan berkualiti yang mahukan  ruang dan peluang untuk mereka menapak buat kali pertama dalam dunia penulisan.

Bertempatan dengan slogan mereka “Nikmati Buku, Raikan Seni,” Tokosue dengan kerjasamaTerbitan Langit dan Kumandang Zine telah membuktikan bahawa lahirnya penulis atau pemuisi pemula yang berbakat apabila tiada unsur bias dalam memilih siapakah yang layak untuk mempersembahkan karya mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.