24 November 2022, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebagai usaha untuk meraikan kehadiran penulis pemula dalam bidang sastera tanah air, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Tunas Cipta 2019/2020 (HTC) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada petang ini. Majlis tersebut turut meraikan penulis yang berjaya memenangi anugerah dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Karya Ilmiah.

HTC atau nama asalnya, Hadiah Sastera Penulis Muda telah diperkenalkan pada tahun 2005, dengan mengetengahkan karya berbentuk puisi, cerpen dan rencana remaja yang disiarkan dalam majalah Tunas Cipta, Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

Anugerah tersebut dilaksanakan sebagai usaha untuk menggalakkan penghasilan karya yang bermutu tinggi dan sebagai majalah yang mengetengahkan bakat muda dalam bidang sastera, majalah Tunas Cipta telah membuktikan peranannya dengan melahirkan penulis pemula yang kini bergelar penulis mapan.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, DBP telah melakukan usaha untuk memperkembangkan bakat dari peringkat kanak-kanak sehingga remaja dengan mewujudkan Minggu Penulis Remaja dan Minggu Penulis Minggu Kanak-kanak, namun masih tidak mencukupi. Oleh itu, DBP mengharapkan sokongan daripada persatuan penulis untuk merealisasikan hasrat ini.

“Bagi penulis mapan, pengalaman sangat membantu. Bagi penulis muda pula meneroka dan mendepani cabaran ini merupakan pengalaman berharga dalam perjalanan dunia kepengarangan mereka,” ulas YBhg. Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Lokman Hakim pernah menghiasi ruangan Borak Orang Muda dalam majalah Tunas Cipta.

Sebagai majalah yang mengetengahkan hasil penulisan penulis muda, Tunas Cipta turut memainkan peranan dengan menyiarkan karya penulis pemula yang kini tidak asing lagi dalam ranah sastera, iaitu Lokman Hakim dan Quratul’ Ain. Hal ini dapat dilihat apabila dua figura tersebut turut berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), iaitu Lokman Hakim bagi kategori cerpen eceran dan Quratul’ Ain bagi puisi eceran yang turut diraikan pada petang ini.

Quratul’ Ain pemenang bagi puisi eceran – Rumah Pertama

Apabila ditanya tentang nasihat Quratul’ Ain sebagai penulis mandiri kepada penulis muda untuk lebih berani mengekspresikan emosi dan idea mereka dalam karya, beliau menjawab, “Sebagai seorang penulis sifat berani harus ada dalam diri mereka dahulu. Kita fikir kita sudah cukup berani, tetapi sebenarnya tidak. Penulis muda harus berani membaca karya yang tidak sealiran pemikiran mereka, berani untuk berfikir juga, jangan menyekat idea yang ada, kerana emosi dan idea akan hadir apabila kita berani melangkaui keselesaan mereka.”

Lokman Hakim dengan karyanya “Tiga Cerita tentang Bahasa”, memenangi Kategori cerpen eceran.

Lokman Hakim berkata,

Ruang penerbitan untuk penulis muda sudah meluas. Tidak semestinya melalui DBP atau gaya penerbitan konvensional. Penulis pemula boleh menggunakan media sosial untuk membina persona terlebih dahulu. Hal tersebut akan membuka ruang penerbitan daripada penerbit-penerbit sedia ada.

Pada majlis yang sama, dua orang penulis pemula yang baru mula bergiat dalam bidang penulisan, iaitu Aliff Haiqal Roslan (Aliff Awan) dengan karyanya “Membilas Dosa” bagi kategori puisi remaja dan Nik Nuralia Aqilah Fauzi dengan cerpennya “Rumah Kayu Busu.”

“Saya tidak pernah sangka akan menang apa-apa anugerah memikirkan betapa ‘satu jalannya’ sastera kita. Tapi, bila menang hari ini, saya juga tidak boleh terlalu gembira kerana masih ramai lagi penulis muda yang bagus, yang susah diterima ‘jalan’ sastera kita,” ulas Aliff Haiqal Roslan apabila ditanya tentang kemenangannya petang ini.

Pemenang Hadiah Sastera Tunas Cipta Kategori Puisi Remaja, Aliff Haiqal Roslan membawa pulang wang tunai RM700.

“Impak kemenangan ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berkarya. Bagi saya berkarya bukanlah untuk habuan semata tetapi sebagai satu kanvas untuk saya tumpahkan warna,” kata Nik Nuralia Aqilah Fauzi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.