23 November 2022, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kesan pandemik dua tahun lalu mengakibatkan industri perbukuan semakin merudum. Hal ini sekali gus menyebabkan ada rumah penerbit yang terpaksa ditutup. Bahkan, ada juga rumah penerbitan yang mencari inisiatif lain dalam mengekalkan penjualan buku mereka agar tiada lambakan buku di dalam stor.

Program Sembang Selasa anjuran Karangkraf telah mengangkat isu “Dunia Buku Luar Malaysia”. Tujuannya adalah untuk melihat bagaimana industri perbukuan di luar negara mampu bertahan ketika penyebaran COVID-19, dan apakah perubahan yang berlaku dalam industri buku dan penerbitan selepas COVID-19.

Perkongsian menarik ini disampaikan oleh Azzah AR, Hafiz Latiff dan Zamri Mohamad sebagai ahli panel. Sembang santai ini berlangsung pada 22 November 2022, pukul 9.30 malam di laman Twitter. Perkongsian panel pembicara tertumpu pada pengalaman mereka melawat pesta buku antarabangsa seperti di Indonesia International Bookfair dan Frankfurt Bookfair, German.

Menurut Hafiz Latiff, Frankfurt Bookfair berlangsung selama enam hari. Dalam tempoh tiga hari pertama pesta buku ini diadakan, tujuannya memfokuskan pada perniagaan penerbitan mereka (trading) dan untuk tiga hari terakhir, orang awam boleh menghadiri pesta buku tersebut dengan tujuan untuk pembelian buku atau mendapatkan buku secara percuma.

Beliau turut menambah,

Yang istimewa tentang Frankfurt bookfair ini, pesta bukunya banyak mengetengahkan pembicara buku (book talker) di pentas utama dan dipersembahkan seperti sebuah konsert dengan jumlah penonton yang ramai.

Begitu juga dengan Indonesia Internasional Bookfair yang dihadiri oleh Zamri Mohamad dan Azzah AR. Menurut Zamri Mohamad, antara kelainan dan elemen penting dalam acara buku di luar negara yang dapat mereka lihat adalah festival penulis dan strategi pemasaran. Festival penulis merupakan pencarian bakat (talent scout) penulis baharu dan berpotensi dalam . Di samping itu, strategi pemasaran lebih tertumpu pada taktik atau kempen penjualan karya yang terlaris.

Azzah AR  berkongsi,

Ini merupakan kali ketiga saya hadir ke Indonesia Internasional Bookfair. Menariknya, pesta buku ini mewujudkan satu zon yang digelar sebagai zon kalap atau zon lupa diri, yang mana buku yang dijual meliputi semua penerbit dan mendapat potongan harga sebanyak 80%.

Selain berkongsi pengalaman mereka tentang pesta buku di luar negara, panel pembicara juga turut memberikan pandangan peribadi berkenaan trend penulisan di Malaysia ketika ini. Menurut mereka, trend penulisan berbentuk penyembuhan (healing) yang banyak diketengahkan oleh penulis dan diminta oleh rumah penerbitan.

Menurut Azzah AR, trend ini berkemungkinan mendapat pemintaan daripada pembaca disebabkan pandemik yang secara tidak langsung menekan kehidupan masyarakat.

Sebelum acara ini berakhir, Zamri Mohamad menyatakan bahawa buku penyembuhan oleh penulis yang digelar sebagai penulis “patah” ini merupakan cara paling berkesan dan mampu milik untuk pembaca menjalani proses pemulihan hati. Trend ini juga dijangka akan kekal untuk jangka masa yang lama dalam industri buku dalam mahupun luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.