13 Ogos 2022, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Ashraf Daniel Anuar, iaitu pelajar jurusan Bakeri dan Pastri dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah telah membanggakan kolejnya khususnya dan negara amnya apabila karyanya berjaya menembusi majalah antarabangsa. Menerusi puisi yang ditulis dalam bahasa Inggeris bertajuk “I Took It On Myself”, Ashraf Daniel berjaya merakamkan nama dan karyanya dalam majalah sastera British, Margate Bookie yang dikeluarkan secara tahunan di United Kingdom.

Margate Bookie.

Melalui puisi “I Took It On Myself”, Ashraf Daniel meluahkan keresahan yang dialaminya akibat tindakannya menanggung bebanan kesilapan orang lain. Namun begitu, dia menyedari bahawa dia perlu menumpukan perhatian kepada masa hadapannya dan yakin bahawa keadaannya akan menjadi lebih baik sekiranya dia berhenti menghukum diri sendiri atas peristiwa lampau.

Rangkap pertama puisi Ashraf Daniel yang disiarkan dalam majalah Margate Bookie.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, majalah Margate Bookie Edisi 2022 telah menerbitkan 50 hasil karya dari seluruh dunia dan puisi Ashraf merupakan salah satu karya yang terpilih untuk mengisi ruangan dalam majalah itu. Menurut Johari, selain daripada hasil karya Ashraf, terdapat dua lagi hasil karya, iaitu lukisan dan esei pelajar Kolej Vokasional Keningau yang turut terpilih untuk diterbitkan dalam majalah Margate Bookie Edisi 2022.

Selaku peneraju Kolej Vokasional Keningau, Johari amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh para pelajarnya kerana hasil karya mereka telah diterbitkan dalam majalah antarabangsa yang mempunyai reputasi yang tinggi.

Saya yakin bahawa kejayaan ini membuktikan betapa pentingnya bakat pelajar dalam apa-apa juga bidang, namun bakat itu perlu diasah dengan baik.

Kandungan majalah Margate Bookie menampilkan beberapa penulisan kreatif dan kesenian yang dihasilkan oleh beberapa orang yang berbakat luar biasa dari seluruh dunia, seperti dari Malaysia, India, Australia, termasuklah dari seluruh United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ruangan “The Open Arms” yang memaparkan karya puisi ialah zine terbaharu yang disiarkan dalam Margate Bookie keluaran Jun 2022.

Dibiayai dan disokong oleh Majlis Seni England, majalah Margate Bookie bersedia untuk meneruskan projek zine untuk beberapa waktu yang akan datang. Menurut editornya, Justin Brown, “Kami memulakan zine sebagai satu cara untuk mendekati penulis dan artis tempatan yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam menangani wabak COVId-19 yang belum pulih sepenuhnya. Kami berbesar hati kerana dapat menawarkan platform ini untuk mereka yang berbakat luar biasa dan berbangga untuk terus berbuat demikian.”

Senarai puisi dalam The Open Arms. Puisi Ashraf di halaman 23.

Untuk membaca puisi nukilan Ashraf Daniel, majalah Margate Bookie boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan https://margatebookie.com/events-projects/the-margate-bookie-zine/#.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.