10 Ogos 2022, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kemenangan ini memberikan semangat kepada saya untuk terus menghasilkan sajak yang berkualiti pada masa akan datang,” ujar Muhammad Qshairy Yamani Mohd Yazid, pemenang pertama Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Sajak Sains anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui DBP Wilayah Tengah dan Sorient Sdn. Bhd. Pertandingan yang diadakan secara dalam talian ini berlangsung pada 11 Mei 2022 hingga 14 Jun 2022, dan majlis penyampaian hadiah telah berlangsung pada 10 Ogos 2022.

Menurut Muhammad Qshairy, untuk pertandingan ini, beliau telah menghasilkan sebuah sajak yang bertajuk “Suara Fitrah”. Sajak tersebut mengisahkan putaran hidup manusia, bermula dari alam roh yang ditiupkan dalam rahim ibu hinggalah lahirnya bayi, dan kemudiannya anak mewarisi segala baik buruk perangai manusia.

Muhammad Qshairy mendeklamasikan sajak nukilannya bertajuk “Suara Fitrah”.

Pertandingan ini merupakan percubaan kali kedua beliau selepas gagal dalam pertandingan mendeklamasi sajak sempena Minggu Bahasa Peringkat Zon Selatan. Tambah beliau lagi, untuk menghasilkan sajak yang baik, beliau banyak membaca karya yang dihasilkan oleh penulis yang hebat, terutama sajak Sasterawan Negara Usman Awang. Bait-bait puisi Usman Awang menjadi inspirasi kepada beliau untuk terus berkarya bukan semata-mata untuk pertandingan ini, tetapi untuk penghasilan karya beliau pada masa akan datang.

Muhammad Qshairy membawa pulang wang tunai dan hadiah iringan.
Bergambar kenangan bersama-sama guru pengiring.

Persembahan bertenaga yang dipersembahkannya sewaktu mendeklamasikan sajak ini dibantu oleh guru pembimbing, iaitu Cikgu Alida Yunus. “Untuk pertandingan ini, saya mendapat sokongan daripada ibu bapa dan dorongan daripada Cikgu Safarudin Hempen yang menggalakkan saya untuk menyertai pertandingan ini,” demikian ujar Muhammad Qshairy dengan nada gembira. Kemenangan Muhammad Qshairy dalam pertandingan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000 dan hadiah iringan. Hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) dalam Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan YBrs. Puan Rafea’ah Haji Nahar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.