10 Ogos 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dengan kerjasama Ikatan Persuratan Melayu menganjurkan Pertandingan Menulis Cerita Digital “Keluarga Malaysia” untuk kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 10 hingga 12 tahun. Pertandingan yang dibuka dari 24 April 20222 hingga 25 Mei 2022 tersebut telah diadakan secara dalam talian.

Pertandingan tersebut diadakan sebagai usaha untuk menerapkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda, khususnya kanak-kanak. Melalui pertandingan tersebut, para peserta diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi pengalaman, buah fikiran dan pendapat mereka berkaitan dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaacob, Perdana Menteri Malaysia.

Orked Khaliesya merupakan pelajar tahun 6 di SK (P) Bandar Kluang (INTEG), Johor.

Menurut Orked Khaliesya Mohamad Hakim yang merupakan johan bagi Pertandingan Menulis Cerita Digital “Keluarga Malaysia”, beliau telah memilih kisah sahabat yang berlainan bangsa, iaitu Melayu, Cina, India dan Iban yang menceritakan kisah sebenar yang berlaku di kantin sekolah mereka. Ketika diwawancara oleh sidang editor e-Tunas Cipta, beliau turut berkongsi tentang cabaran sepanjang penghasilan buku selak (flip book) tersebut iaitu kemahiran menggunakan komputer kerana beliau masih berusia 12 tahun.

Orked bergambar bersama dengan keluarga beliau.

“Guru dan ibu bapa merupakan insan yang mendorong dan membimbing saya sepanjang menghasilkan projek tersebut,” ujar Orked yang berjaya membawa pulang hadiah berjumlah RM500. Meskipun beliau hanya berusia 12 tahun, namun beliau telah berjaya menghasilkan cerita digital dalam bentuk buku selak dalam tempoh sebulan. Menurut bapa beliau, iaitu Encik Mohamad Hakim,  Orked mendapat ilham daripada majalah Dewan Pelajar selain dibantu oleh guru untuk memurnikan jalan cerita tersebut.

Penyampaian hadiah bagi Pertandingan Menulis Cerita Digital “Keluarga Malaysia” telah diadakan ketika Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 pada pagi tadi. Majlis penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), selain turut disaksikan oleh YBrs. Puan Rafea’ah binti Haji Nahar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.