4 Ogos 2022, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selaku moderator dalam program “Tentang Pantun: Warisnya Kalbu”, Iman Danial Hakim membuka perbincangan dalam Twitter Space dengan dua rangkap pantun:

Mencari timba si anak dara,

       Di bawah sarang burung tempua;

Salam sembah pembuka bicara,

       Selamat datang untuk semua.

 

Indah berbalam si awan petang

     Berarak di celah pepohon ara;

Pemanis kalam selamat datang,

      Awal Bismilah pembuka bicara.

 

Ahli panel yang berada dalam Twitter Space untuk membicarakan kandungan karya Warisnya Kalbu ialah Sri Rahayu Mohd Yusop, seorang penulis yang cukup terkenal dengan karya fantasi bertajuk Puteri Naga Tiberius.

Dalam memberikan justifikasi tentang pembicaraan pantun dalam Warisnya Kalbu, topik itu dipilih kerana pantun mengetengahkan kearifan tempatan, terutama dalam memperlihatkan kebijakan orang dahulu dalam memerhatikan alam sekeliling, yang dijadikan ilham untuk mencipta pantun. Walaupun sudah diwarisi daripada generasi lampau yang berusia ratusan tahun, namun pantun masih hidup segar hingga sekarang. Tambahan pula, pantun menjadi subjek utama yang diceritakan oleh pengarang Warisnya Kalbu, Sri Rahayu Mohd Yusop.

Selaku penulis Warisnya Kalbu yang sarat dengan penceritaan tentang pantun, Sri Rahayu membuka bicara dengan “penafian”, iaitu jangan menganggap dirinya sebagai pakar pantun mahupun pakar sejarah Melayu. Terhasilnya Warisnya Kalbu disebabkan minatnya yang mendalam terhadap pantun yang menjadi warisan masyarakat Melayu. Menurut Sri Rahayu, tercetusnya ilham menulis Warisnya Kalbu setelah dia membaca novel bertajuk Possession: A Romance yang ditulis oleh A. S. Byatt, yang mengisahkan dua orang penyajak fiksyen pada zaman Victoria. Kedua-dua penyajak tersebut berkahwin dan mempunyai zuriat.

Pada suatu ketika, mereka terjumpa wasiat dan melalui wasiat tersebut barulah mereka mengetahui bahawa mereka berasal daripada jurai keturunan yang sama. Hal yang menarik perhatian Sri Rahayu terhadap novel tersebut ialah keintelektualan yang diketengahkan oleh A.S. Byatt melalui penceritaannya tentang puisi dan jenis-jenis puisi. Daripada cerita itulah tercetusnya ilham Sri Rahayu untuk menghasilkan novel tentang warisan masyarakat Melayu yang tidak luntur dek zaman, lantas menjadikan pantun sebagai inti utama dalam pengkaryaan Warisnya Kalbu.

Secara ringkasnya, Warisnya Kalbu mengisahkan Hassan Basri dan keluarganya pergi ke rumah arwah datuknya untuk mengemaskan rumah tersebut. Di rumah arwah datuknya, Hassan Basri tertarik dengan sebuah buku yang berbeza daripada buku lain yang terdapat di rak buku, lantas meminta izin daripada ayahnya untuk memiliki buku tersebut. Buku itu merupakan sebuah jurnal milik Tun Cempaka, anak Orang Kaya Berlapan di Pahang yang bertarikh 1277 Hijrah. Hassan Basri mempunyai minat untuk menyertai pertandingan pantun peringkat sekolah dan semasa sesi uji bakat dijalankan, dia terpilih bersama dengan tiga rakannya yang lain, iaitu Khadija (gadis kacukan Melayu-Inggeris), Xian Rong dan Ruhana. Jurnal milik Tun Cempaka itu pula berisi catatan hariannya menemani abangnya, Tun Hassan Perwira semasa mengajar Katherine Cavenagh, anak saudara Gabenor Cavenagh di Pahang untuk belajar pantun.

Katherine Cavenagh yang fasih berbahasa Melayu itu ingin mempelajari pantun dan telah menterjemahkan beberapa pantun daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Khadija, rakan Hassan Basri pula mempunyai sebuah buku yang kulit luarannya sama seperti catatan harian Tun Cempaka yang dimiliki oleh Hassan Basri. Buku itu merupakan peninggalan neneknya dan jurnal itu berisi terjemahan pantun dalam bahasa Inggeris.

Aspek sejarah yang terangkum dalam Warisnya Kalbu ialah tentang perebutan kuasa waris terakhir bendahara Pahang sehingga mencetuskan Perang Bendahara Pahang. Apabila ditanya, sama ada penceritaan tentang konflik bendahara Pahang itu ditulis sekadar suatu fiksyen ataupun ceritanya berdasarkan kisah benar atau fakta sejarah berkaitan perang tersebut, Sri Rahayu mengakui pengisahan konflik tersebut  bukan fiksyen tetapi peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku di Pahang.

Berkaitan dengan Perang Bendahara Pahang, Sri Rahayu menyatakan beliau mula mengarang Warisnya Kalbu pada tahun 2006. Pada Ketika itu, tidak banyak maklumat yang diperolehnya tentang konflik tersebut. Sri Rahayu menemukan sumber rujukan setelah melihat iklan dalam akhbar tentang buku tulisan Tun Suzana Tun Othman yang bertajuk Mencari Sejarah: Tun Mutahir Tun Ali, Bendahara Seri Maharaja Pahang (1857-1863M) terbitan Pustaka BSM Enterprise pada tahun 2001. Berdasarkan maklumat dalam buku itulah Sri Rahayu mengarang cerita tentang Perang Bendahara Pahang.

Maka itu, hal yang menarik tentang Warisnya Kalbu adalah kerana naskhah ini bukan sahaja sarat dengan penceritaan tentang pantun, malah turut terisi dengan sejarah. Sejarah itu pula jarang-jarang diperkatakan dan tidak diajar di sekolah, bahkan sumber yang ada untuk mengetahui peristiwa perang yang dilupakan hanyalah senaskhah buku. Lantaran itu, moderator program, Iman Danial Hakim melabelkan Perang Bendahara Pahang ialah sebuah epik sebenar yang diluputkan zaman.

Berbalik pada kedua-dua jurnal usang yang terdapat dalam cerita Warisnya Kalbu, jurnal tersebut ibarat benang takdir yang terputus ketika Perang Bendahara Pahang, namun benang itu bertaut semula semasa Hassan Basri dan Khadija berganding tenaga menyertai sayembara pantun.

Naskhah terbitan pertama Warisnya Kalbu.

Warisnya Kalbu yang pada asalnya diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors telah memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2007. Lantaran isinya yang mengandungi khazanah masyarakat Melayu yang tinggi nilainya, maka novel Warisnya Kalbu diterbitkan semula oleh penerbitan JIWA dengan kulit yang berwajah baharu. Selaku Duta Buku JIWA, Iman Danial Hakim menyarankan Warisnya Kalbu harus dibaca oleh semua peringkat usia. “Bacalah Warisnya Kalbu kerana di dalamnya ada pantun dan ada pelajaran, juga ada sejarah dan ada juga pengajaran,” demikian ujar Iman Danial Hakim.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!