31 Julai 2022, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuaran –Tiga orang penulis Sabah, Dr. Rem Dambul, Rita Robert Rawantas dan Ruhaini Matdarin bersinergi secara langsung menerusi Facebook Rem Dambul untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai penulisan sastera di Sabah secara santai dalam program Sembang Sastera Trio ReRiRu.

Menurut Dr. Rem, program yang berkaitan dengan sastera jarang-jarang diketengahkan di Sabah. Oleh itu, inisiatif bual bicara Sembang Sastera Trio ReRiRu dilaksanakan demi menghasilkan wacana yang tidak kosong, pada masa yang sama tidak terlampau ilmiah.

Dr. Rem selaku moderator dalam program tersebut memulakan bicaranya dengan menyatakan definisi sastera menurut pandangan beliau, “Saya bukan jenis yang taksub dengan pertandingan sastera atau kemenangan, pada saya sastera ini ialah cinta, iaitu kita buat sesuatu itu berdasarkan apa-apa yang kita suka,” ujar beliau.

Namun begitu, beliau amat bersetuju agar sebuah karya sastera itu dikurniakan pengiktirafan sebagai bukti usaha yang dilakukan oleh pengkarya tersebut berada di landasan yang betul.

Dalam bual bicara ini juga, Rita sebagai juara Anugerah Hadiah Sastera Sabah 2019/2020 bagi Buku Kumpulan Puisi yang bertajuk Perempuan Pembunuh Sepi turut berkongsi pengalamannya menerima anugerah tersebut.

Beliau berkata, “Bagi saya, anugerah itu menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menulis. Namun, pada masa yang sama, kita tidak boleh terlampau memikirkan bahawa menulis hanya untuk memenangi hadiah tersebut, pasti gila jadinya.”

Beliau yang tidak menyangka memenangi anugerah berprestij itu sempat berkongsi tip menulis puisi, iaitu menulis dengan bersungguh-sungguh dan sehabis baik tanpa memikirkan kemenangan semata-mata. Tambah beliau lagi, puisi dalam buku tersebut sebenarnya kenangan beliau semasa bekerja di sebuah rumah perlindungan di Sabah.

Selain itu, Ruhaini seorang penulis Sabah yang pernah mengungguli tiga anugerah sastera berprestij seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Novel, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sayembara anjuran Berita Harian dan ITBM turut berkongsi pengalamannya dalam program bual bicara ini.

Ruhaini berkata,

Pencapaian yang berjaya diraih itu adalah sebahagian daripada hasil kerajinan dan bakat, “Setiap kerajinan dan bakat itu, pasti akan ada imbuhan dan imbalan, sama ada dalam bentuk pengiktirafan ataupun kepuasan.

Mengulas lanjut berkenaan hasil karyanya, perkara pertama yang dirasai beliau setelah menghasilkan karya dengan kesungguhan, pembacaan, pelaksanaan kajian dan pemerhatian ialah kepuasan.

Selanjutnya, beliau turut berkongsi tentang genre bahan bacaannya yang terkini, “Sebagai seorang pembaca pada tahap usia begini, saya mencari bahan bacaan yang menyelamatkan diri saya, bukan lagi bahan bacaan yang sekadar mengisi masa lapang. Itu sudah berlalu,” ulas beliau.

Terdahulu, program Sembang ReRuRi turut berkesempatan mempromosi buku puisi karya Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Ustaz Abdul Muizz Awang Marusin bertajuk Catatan buat Teman Setia yang baru sahaja dilancarkan pada Selasa lalu.

Dr. Rem (paling kanan) membaca puisi karangan Ustaz Muizz dalam buku puisi terbaharunya, Catatan buat Teman Setia.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!