Oleh Haniff Yusoff
28 Julai 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hikayat Hang Tuah (HHT) dianggap sebagai sebuah karya epik dalam kesusasteraan Melayu kerana menampilkan seorang tokoh yang begitu berpengaruh dalam sejarah sesuatu bangsa. Hal ini diperakui oleh Mustafa Mohd Isa dalam bukunya, Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih (2013) yang menyifatkan HTT menepati ciri-ciri sebagai sebuah karya epik memandangkan watak Hang Tuah yang dikisahkan benar-benar wujud dalam sejarah empayar Melaka.

Sifat keperwiraan dan kepahlawanan Hang Tuah ditonjolkan dengan cemerlang dalam naskhah sastera sejarah HTT sehingga dianggap sebagai suri teladan kepada seluruh bangsa, generasi. W. N. Khuzairey dalam tulisannya “Hang Tuah dari Lensa Moral Sastera” (2022) memerihalkan keperibadian Hang Tuah yang direkayasakan oleh persekitarannya sedari kecil seperti cuplikan petikan dalam buku Merdeka Belum Berjiwa, halaman 9.

Hikayat Hang Tuah juga menekankan kemuliaan berkhidmat kepada golongan istana sejak kecil lagi, mengikut mana-mana sifat kepahlawanan dan menjadi hulubalang raja itu dianggap sangat mulia. Dari sini maka nilai-nilai dalam diri Hang Tuah dibentuk.

HHT juga tidak terlepas dalam menyisipkan rasa simpati melalui watak yang dijelmakan dalam naskhah tersebut. Kepedulian dalam memahami perasaan serta cuba mengurangkan beban yang ditanggung oleh pihak lain telah menyerlahkan sisi kemanusiaan dalam diri seseorang. Terdapat beberapa kisah yang diceterakan dalam HHT yang menyerlahkan sisi kemanusiaan menerusi watak dalamnya.

Kemanusiaan Seorang Bendahara terhadap Laksamana Hang Tuah

Menyorot peristiwa penting dalam HHT, kita tidak akan terlepas daripada mencerap peristiwa Hang Tuah yang difitnah oleh beberapa orang pegawai istana sehingga mendatangkan amarah Raja Melaka. Walhal Hang Tuah ialah watak yang selalu disanjung dan disayangi oleh raja. Peristiwa ini berlaku berikutan perasaan cemburu dalam kalangan pegawai istana terhadap Hang Tuah yang sering kali mendapat perhatian daripada Raja Melaka, malah begitu dikasihi oleh baginda.

Lantaran itu, Hang Tuah telah difitnah berbuat jahat bersama-sama gundik raja sehingga mendatangkan kemurkaan Raja Melaka terhadap kelakuan Hang Tuah. Peristiwa tersebut menyebabkan raja menjatuhkan hukuman terhadap Hang Tuah tanpa menyelidik terlebih dahulu. Berikut merupakan petikan dialog Raja Melaka kepada bendahara supaya Hang Tuah dibuang negeri dan dibunuh. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan halaman 236 dalam HHT.

Hai bendahara, segeralah buangkan Si Tuah itu.” Maka bendahara pun menangis lalu sujud meniarap pada kaki raja, sembahnya, “Daulat tuanku, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun. Sayang, tuanku, laksamana itu dibuangkan. Sukar tuanku mencari hamba seperti patik itu laksamana. Kerana ia tidak berdosa; lagipun kita berseteru dengan Majapahit, kalau-kalau kemudian kelak Duli Yang Dipertuan menyesal.” Maka titah raja dengan amarahnya, Hai bendahara, segera buangkan Si Tuah itu! Kita tahu akan matinya atas bendahara.

Sebenarnya, situasi tersebut menyerlahkan rasa simpati yang ada dalam diri seorang bendahara istana. Bendahara memujuk rayu raja yang terburu-buru dalam membuat keputusan memandangkan Hang Tuah menjadi mangsa fitnah pegawai istana. Bendahara sehabis daya memujuk baginda, termasuklah memberikan implikasi jika ketiadaan Hang Tuah di Melaka yang mampu mengundang malapetaka. Rasa simpati yang dipancarkan bendahara tidak berakhir sekadar memujuk rayu kepada baginda, malah bendahara sanggup menderhaka akan perintah raja apabila tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah.

Simpati bendahara terhadap Hang Tuah turut didorong oleh premis keadilan terhadap Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah tanpa diberikan peluang menyatakan kebenaran. Bendahara mengutamakan rasa belas kasihannya terhadap Hang Tuah sehingga sanggup dan berani mengabaikan perintah seorang pemerintah tertinggi.

Kemanusiaan Seorang Hang Tuah kepada Sahabat Karibnya, Hang Jebat

Hang Tuah yang dianggap mati disebabkan kesalahan yang tidak dilakukannya telah disembunyikan di dusun milik bendahara. Pada masa yang sama, Hang Tuah berguru dengan Syeikh Mansur.

Hang Jebat pula telah dilantik oleh raja ketika itu untuk menggantikan kedudukan Hang Tuah di istana, walau bagaimanapun Hang Jebat menggunakan peluang yang ada untuk menguasai istana atas dasar menuntut bela atas kematian Hang Tuah.

Raja Melaka pula mula terkenangkan Hang Tuah dan berasa menyesal akan titah hukumannya terhadap Hang Tuah sebelum ini apakala Hang Jebat mula membuat onar. Setelah mengetahui Hang Tuah masih hidup, Raja Melaka menitahkan Tun Pekerma dan Hang Kasturi mendapatkan Hang Tuah untuk dibawa pulang ke Melaka. Seterusnya, ketika menghadap raja, Hang Tuah dititahkan oleh raja membunuh Hang Jebat yang telah menyebabkan Melaka menjadi huru-hara ketika itu seperti yang terungkap dalam HHT, halaman 349.

… Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat demikian itu?” Maka sembah laksamana, “Daulat tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.

Setelah menerima titah daripada Raja Melaka, Hang Tuah yang digambarkan sebagai seorang yang patuh pada titah pemerintah telah ke istana untuk membuat perhitungan dengan Hang Jebat. Persoalannya, adakah Hang Tuah tergamak membunuh sahabat karibnya Hang Jebat? Menyorot kisah seterusnya, Hang Tuah sebenarnya berjaya menikam Hang Jebat seperti yang diungkapkan dalam HHT, halaman 363.

Arkian maka laksamana pun segera berbangit berdiri, serta katanya, “Cih! Mati engkau olehku! Maka laksamana pun melompat serta ditikamnya dada Hang Jebat, kena dadanya terus terbayang-bayang ke belakangnya.

Petikan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Hang Tuah telah berjaya melukakan Hang Jebat, namun Hang Tuah tidak berniat membunuh Hang Jebat. Setelah mencederakan Hang Jebat dan dibalas juga tikaman di belakang Hang Tuah (tidak lut), Hang Tuah meninggalkan istana dan berjalan pulang ke rumahnya.

Sejak peristiwa pertarungan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat di istana, Hang Tuah seolah-olah mendiamkan diri, sedangkan Hang Jebat yang masih hidup dan berterusan melakukan hura-hara dalam negeri sehingga ada yang terluka dan juga terkorban. Setelah genap tiga hari tiga malam Hang Tuah berkhalwat, Hang Tuah menemui Hang Jebat di pasar lalu membawa Hang Jebat pulang ke kampungnya. Hang Tuah menyerlahkan sifat kemanusiaannya kepada Hang Jebat apabila merawat luka pada tubuh Hang Jebat seperti yang dikisahkan dalam petikan HHT, halaman 367.

… Setelah laksamana mendengar kata Hang Jebat demikian itu, maka dipimpin oleh laksamana tangan Hang Jebat dibawanya masuk ke kampungnya. Maka oleh laksamana disapunya darah pada segenap tubuh Hang Jebat itu. Setelah sudah maka Hang Jebat pun dibawanya ke rumahnya. Maka kata laksamana pada Hang Jebat, “Hai saudaraku, mahukah saudaraku makan nasi barang sesuap?” Maka sahut Hang Jebat, “Mohon diperhamba, tetapi yang kasih orang tua itu tiadalah terbalas oleh diperhamba, melainkan Allah Taala jua membalas dia… .

Rentetan daripada peristiwa perbalahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, menggambarkan nilai kemanusiaan yang sebati dalam jiwa Hang Tuah. Hang Tuah tidak membunuh Hang Jebat seperti yang telah dititahkan oleh raja, malah nilai kemanusiaan semakin terserlah apabila Hang Tuah menemui Hang Jebat yang mengamuk di pasar. Hang Tuah telah mengajak Hang Jebat pulang ke kampungnya, dilapnya darah pada tubuh Hang Jebat, dibawa pulang ke rumah, lalu mempelawa Hang Jebat untuk menjamu selera. Perbuatan yang diperlihatkan pada watak Hang Tuah mempamerkan nilai kemanusiaan seorang sahabat sejati.

Peristiwa perbalahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat mengemukakan pelbagai pengajaran yang boleh diteladani bagi mendepani hari-hari mendatang. Hang Tuah dan Hang Jebat merupakan entiti yang mewakili sikap masyarakat yang berbeza. Hang Tuah lebih tenang sifatnya berbanding dengan Hang Jebat yang terburu-buru dalam segala tindakan.

Menelusuri kisah mereka, Hang Tuah mencerminkan sifat masyarakat Melayu yang cemerlang. Berdasarkan kisah yang dikutip, Hang Tuah ialah seorang yang begitu menyanjungi persahabatannya dengan Hang Jebat. Kepatuhannya kepada Raja Melaka tidak membawanya kepada pengakhiran tali persaudaraan. Hang Tuah masih memuliakan Hang Jebat sebagai sahabatnya dengan membersihkan diri Hang Jebat daripada segala darah yang terpalit di tubuhnya. Tambahan pula, Hang Tuah masih bersantun dalam menerima Hang Jebat sebagai tetamu di rumahnya dengan mempelawa Hang Jebat menikmati hidangan nasi.

Kemanusiaan merupakan nilai yang begitu signifikan dalam usaha mewujudkan keharmonian dalam sesebuah komuniti. Kemanusiaan yang dizahirkan melalui HHT berdasarkan beberapa peristiwa dan perlakuan watak yang diketengahkan secara tidak langsung mencerminkan keperibadian masyarakatnya secara umum. Shaharuddin Maaruf dalam penulisannya berjudul “Kesusasteraan Melayu sebagai Sejarah Sosial” (2022) mengungkapkan seperti petikan yang berikut.

Pemikiran kemanusiaan Melayu menganjurkan kayu ukur menilai manusia yang lebih rasional dalam erti ia bersifat bebas, berautonomi, objektif dan tidak tunduk atau memilih kasih terhadap mana-mana kumpulan atau kelas.

Kemanusiaan yang dijelmakan oleh watak yang terkandung dalam HHT memperlihatkan kemanusiaan tidak mempunyai persempadanan untuk dizahirkan. Sesiapa sahaja mampu menzahirkan kemanusian tanpa mengira pangkat mahupun darjat. Berdasarkan tamsil petikan yang dikemukakan, ternyata HHT berdiri sebagai sebuah naskhah tradisi yang turut diperindah dengan nilai kemanusiaan.

Nilai kemanusiaan ini secara tidak langsung merupakan pancaran budi pekerti masyarakat Melayu yang murni seperti mempertahankan keadilan, menghargai persahabatan dan adab dalam memuliakan tetamu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.