20 Julai 2022, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam https://www.idntimes.com/ menyatakan tip yang pertama kalau mahu lancar menulis adalah dengan menjadikan pengalaman sebagai idea atau ilham. Dalam memikirkan jalan cerita, cara paling mudah adalah dengan mengimbas kembali pengalaman yang pernah dilalui atau dirasai, sama ada pengalaman itu menyenangkan, menyedihkan, menyebalkan, atau bahkan hal yang membuatkan kita berasa tertekan atau stres.

Artikel bertajuk “Menulis Cerita Pendek Mudah Berdasarkan Pengalaman” dalam https://radarsemarang.jawapos.com pula menyatakan pengalaman diperoleh daripada proses membaca, melihat, mendengar, dan mengalami sesuatu pengalaman. Pengalaman itu tersimpan dalam memori otak setiap orang. Sebagai penulis yang masih dalam usia remaja, memori otaknya masih kuat untuk menerima berbagai-bagai maklumat. Oleh sebab itulah, bagi penulis baharu, pengalaman merupakan suatu kaedah dan wadah yang mudah digunakan dalam meraih ilham untuk menulis cerita.

Pengalaman Belajar di Rantau Orang

Memetik kata-kata Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, “Hidup kita ini kena ringkas kerana kita perlu menggunakan masa untuk berfikir, kerana berfikir itu merupakan suatu keindahan.” Sebaris ayat oleh Sasterawan Negara tersebut telah menjadi pegangan Azian Mohamed Isa sewaktu menceritakan pengalamannya bergelar penulis kepada hampir seratus orang mahasiswa Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia dalam program “Wacana Sastera Islam: Ketika Tukang Pena Berbicara”.

Nama Azian Mohammed Isa masih baharu dalam dunia penulisan kreatif, terutama cerpen. Setelah menamatkan pengajiannya di universiti luar negara, beliau telah memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi mengurus keluarganya. Pada masa itu, beliau terasa ada kekosongan waktu dalam kehidupannya, lantas daripada perasaan itulah muncul hasrat beliau untuk meneroka sesuatu yang baharu. Dengan membawa hasrat untuk menjadi penulis, maka beliau pun menyertai beberapa bengkel penulisan. Daripada bengkel yang disertainya, Azian merasakan bahawa karya sastera itu sesuatu yang sederhana.

Melalui pengalaman belajar di luar negara dan menyertai bengkel penulisan karya sastera, akhirnya Azian berjaya menghasilkan karya sulungnya yang bertajuk “Bradford, Aku Datang”. Azian bertambah teruja dengan dunia penulisan karya kreatif apabila karya sulungnya tersiar dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Mac 2022, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Azian mengakui bahawa kejayaan tersebut didorong oleh perasan ingin memanfaatkan pengalaman belajar di Bradford, England dan Sekolah Raja Tun Azlan Shah. Pengalaman yang diperoleh melalui bengkel penulisan, termasuk Bengkel Penulisan Nisah Haron juga banyak membantu beliau mengolah karya, terutama dalam menggunakan teknik yang sesuai dan tepat untuk menghasilkan cerpen.

Bercerita tentang karya sulungnya, Azian menyatakan watak Siti Suraya dalam cerpen “Bradford Aku Datang” memaparkan sifat-sifat fizikal kawan sebiliknya sewaktu menuntut di universiti luar negara. Walaupun olahan cerpennya hanya memaparkan 10 peratus kisah benar, namun cerpen tersebut menunjukkan bahawa pengalaman sentiasa bahan yang sangat berguna sebagai bahan rujukan oleh setiap penulis.

Menurut Azian, pengalaman itu mematangkan seseorang individu, terutama bagi penulis yang baru hendak berkarya seperti dirinya. Bermulanya daripada pengalaman yang sedikit, kemudian pengalaman itu semakin bertambah apabila dimamah usia. Seperti kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Semakin bertambah pengalaman itu, semakin banyaklah rujukan yang dapat diambil dan digunakan dalam menghasilkan karya. Hal ini terbukti melalui perkongsian para penulis yang menjadikan pengalaman mereka sebagai bahan rujukan dan sumber ilham dalam berkarya.

Pengalaman Menongkah Liku Hidup

Nama Rozninah Abd. Azib bukanlah asing dalam kalangan penulis baharu kerana beliau banyak memberikan bimbingan dan ceramah berkaitan dengan panduan dan teknik menulis cerpen. Selaku editor yang pernah menukang majalah Dewan Sastera terbitan DBP, Rozninah juga turut menjadikan pengalaman tersebut dalam menghasilkan karya dan juga semasa memberikan bimbingan kepada penulis baharu.

Menurut Rozninah, pengalaman yang telah dilalui dalam mengharungi liku-liku kehidupan telah menjadikan dirinya seorang penulis yang karyanya banyak berkisar tentang kisah kehidupan dan hubungan dengan ahli keluarga, rakan dan masyarakat. Pengalaman yang paling berharga bagi Rozninah dalam laluan awal kerjayanya sebagai penulis adalah apabila beliau meletakkan niat mahu mencari wang bagi membiayai pengajiannya.

Pada ketika itu, Rozninah hanyalah bekerja sebagai pelukis dengan gaji yang rendah. Disebabkan kekangan itulah, beliau tidak mampu untuk menampung pengajiannya dengan hanya menggunakan duit gaji yang diterimanya setiap bulan. Lantaran itulah, beliau mengambil inisiatif menyertai banyak peraduan menulis, yang akhirnya pengalaman tersebut menjadikan beliau berjaya menjadi seorang penulis dan pelukis.

Bercerita tentang pengalaman hidupnya pula, kehilangan anak pada usia yang muda memang sangat menyentuh rasa dalam diri Rozninah sebagai ibu. Ekoran merasai pengalaman pahit itu, beliau menyelitkan pesanan dalam hatinya bahawa kata-kata, niat dan fikiran mestilah sentiasa dijaga kerana setiap satunya boleh menjadi doa. Karya yang terhasil sebagai tanda mengenang anaknya yang telah pergi itu juga menjadi suatu terapi diri bagi dirinya, sekali gus mengajak sesiapa sahaja agar menghasilkan karya sebagai suatu amal jariah.

Buku Inspirasi Cinta memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012.

Pengalaman Bersama-sama Insan Penting dalam Hidup

Hajah Mahaya Mohd Yassin bukanlah nama baharu dalam persada persuratan tanah air. Selaku penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2015, Mahaya sangat berpengalaman dalam menghasilkan karya sastera setanding dengan usia dan pengalamannya sehingga berjaya meraih anugerah berprestij dalam dunia sastera tanah air, khususnya di Negeri Sembilan. Berkongsi pengalamannya, Mahaya mendedahkan tiga nama yang menjadi inspirasinya untuk menulis, iaitu emak, abah dan juga guru. Ibu beliau seorang yang buta huruf tetapi sangat berkebolehan dalam mendendangkan syair serta bercerita. Setiap kali turun ke sawah beramai-ramai untuk menuai, menjemur dan menumbuk padi, ibunya gemar mendendangkan syair sebagai hiburan.

Ayah beliau pula bekas sarjan polis yang sangat berdisiplin, khususnya dari segi masa. Oleh sebab itu, beliau mengikuti jejak langkah ayahnya yang sentiasa menepati masa. Ayahnya pula sering membeli surat khabar Utusan Zaman yang diterbitkan dalam tulisan Jawi. Oleh sebab itulah, beliau boleh membaca Jawi sewaktu menjejak usia empat tahun. Melalui bahan yang dibacanya seperti surat khabar dan buku bacaan yang diberikan oleh ibunya, Mahaya banyak mengumpulkan bahan untuk dijadikan rujukan semasa menulis. Daripada bahan tersebut juga, Mahaya menulis beberapa ungkapan, selain menghasilkan karya seperti cerpen, puisi dan cerita kanak-kanak.

Allah telah mentakdirkan beliau bertemu dengan guru yang sangat istimewa. Guru beliau banyak memberikan peluang kepadanya untuk membaca serta sentiasa membantunya dalam membaiki dan membetulkan sebutan dan bahasanya. Apabila beliau secara sukarela membaca dan mendeklamasikan puisi sewaktu di kelas, secara tidak langsung, lebih banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehnya. Tambahan pula, guru di sekolah memang sering mendorongnya untuk menulis dan menghantar hasil karya beliau kepada media untuk diterbitkan.

Menurut Puan Hajah Mahaya lagi, menulis bukan sekadar menulis. Perlu ada sesuatu yang tersirat di sebaliknya. Pesanan beliau, “Sebelum menulis atau menghadiri kelas untuk mengajar, kita perlu lebih tahu daripada orang lain. Kita perlu ada ilmu dan dengan ilmu itulah, terkandung nilai murni, kemahiran dan aspek bahasanya.”

Gubah Pengalaman Menjadi Karya

Kebanyakan penulis yang berjaya bermula dengan karya yang ditulis berdasarkan pengalaman hidup yang dialami dan dirasainya. Hal ini terbukti melalui perkongsian pengalaman tiga orang penulis yang karyanya boleh dibaca, sama ada sebagai karya eceran atau pun diterbitkan dalam antologi dan kumpulan cerpen.

Memang tidak dinafikan bahawa pengalaman boleh menjadi sumber ilham dalam berkarya. Setiap individu pasti melalui suatu pengalaman yang boleh digubah menjadi sebuah karya kreatif, sama ada sajak, cerpen atau novel. Maka itu, bagi penulis yang mahu menghasilkan karya, terutama karya sulung, cuba imbas kembali pengalaman  yang signifikan dalam hidup suatu ketika dahulu untuk diabadikan dalam karya masing-masing. Memetik kata-kata Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam puisi “Pulang Si Tanggang”.

Perjalanan adalah guru setia,

yang tidak pernah malas

memaknakan kebudayaan atau kelainan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.