16 Julai 2022, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mutakhir ini sastera tradisional, terutama irama syair telah mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Hal ini dapat dilihat apabila golongan ini turut melibatkan diri untuk mempelajari berkaitan dengan pelbagai jenis irama syair secara mendalam. Antara irama syair yang sering diperdengarkan adalah seperti irama selendang delima dan irama batu belah.

Dr. Shafa’atussara Silahudin, Pengetua Akademi Syair dan juga penerima Anugerah Bitara Syair Nusantara 2021. (Kredit foto: Hamzah Awang)

Sebagai usaha untuk menyebarluaskan syair kepada khalayak, terutama generasi muda, maka Akademi Syair Nusantara yang dikendalikan oleh Dr. Shafa’atussara Silahudin telah ditubuhkan pada tahun 2021. Akademi yang mendapat geran daripada The Cultural Economy Development Agency (CENDANA) itu merupakan antara usaha yang sedang giat dijalankan untuk melahirkan pelapis penyair tanah air.

Cikgu Shaidatul Nadhirah merupakan mentor Akademi Syair.

Cikgu Shaidatul Nadhirah Shaharum yang merupakan mentor bagi akademi tersebut menyatakan bahawa pemilihan mentor dibuat berdasarkan penilaian daripada Adiguru Roslan Madun yang melihat kemahiran penguasaan irama syair dalam kalangan mentor tersebut. Tambahnya lagi, setiap mentor harus menguasai sekurang-kurangnya 10 irama syair yang menjadi antara kriteria utama pemilihan.

“Setiap mentor akan ditugaskan untuk mengajar tiga orang pelajar dan harus memastikan bahawa setiap pelajar tersebut berjaya menguasai sekurang-kurangnya 10 irama syair. Pada minggu ke-10 sesi pembelajaran, setiap pelajar dikehendaki menyediakan tugasan video dendangan syair untuk dinilai oleh Ayahanda Roslan Madun dan Dr. Shafa’atussara sebelum ditauliahkan pada majlis graduasi,” jelas beliau yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Jasin, Melaka.

Sebagai pelajar yang berjaya menamatkan pengajian di Akademi Syair Nusantara, Ahmad Asyrafi turut berkongsi pengalaman beliau sebagai kumpulan pertama pelajar Akademi Syair Nusantara berkaitan dengan proses pemilihan pelajar. Menurut beliau, setiap pelajar yang ingin mendaftarkan diri dalam akademi tersebut harus menghantar video dendangan syair masing-masing untuk dinilai sebelum ditemu duga.

Ketika ditanya oleh sidang editor e-Tunas Cipta tentang penerimaan anak muda berkaitan dengan irama syair, Muhammad Haziq Nasrullah antara pelajar termuda di akademi tersebut turut berkongsi pandangan dengan mengatakan bahawa usaha mengetengahkan keindahan irama syair tersebut harus dipergiatkan dan juga harus memanfaatkan media sosial sebagai medium mempromosikan syair tersebut.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Ashrafi, pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa. Tambah beliau lagi, setiap pihak termasuklah masyarakat, kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus memainkan peranan masing-masing bagi mengangkat martabat syair itu sendiri.

Akademi Syair Nusantara telah memainkan peranan mereka apabila berjaya menubuhkan sebuah akademi yang memfokuskan usaha untuk melestarikan bidang tersebut. Hasilnya, sebanyak 23 orang pelajar berjaya ditauliahkan pada Malam Graduasi Adiguru Syair Cendana yang diadakan pada malam tadi.

Menurut Muhammad Affan yang turut ditemu bual pada malam tadi, pentauliahan tersebut merupakan amanah dan tanggungjawab yang besar buat semua pelajar. Ujar beliau, setiap pelajar merupakan “duta” bagi institusi masing-masing dan mereka harus memanfaatkan peluang dan ruang tersebut untuk melestarikan bidang syair tersebut dalam institusi masing-masing.

Antara pelajar yang berjaya menerima pentauliahan pada malam tadi.

Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana yang julung kali diadakan pada malam tadi telah mentauliahkan sebanyak 23 orang pelajar dan turut melibatkan sebanyak lapan orang mentor selaku guru. Selain majlis pentauliahan, pada malam tadi turut memperlihatkan persembahan daripada Dr. Shafa’atussara Silahudin, barisan mentor dan pelajar Akademi Syair Nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.