13 Julai 2022, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun Hari Kebangsaan bakal menjelang pada Ogos ini, namun semangat kemerdekaan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh barisan penulis buku Antologi Citra Kebenaran telah membuktikan bahawa sastera mampu meningkatkan perasaan cinta akan negara. Sebanyak lima orang penulis, iaitu Haji Adlan Haji Mohd, Mohd Khairul Azhar Mustapa, Mohd. Isnin Tawaf, Raja Yusoff Ariffin (penulis) dan Hafizan Jamal telah mempromosikan buku antologi tersebut yang berlatarbelakangkan arca Rukun Negara yang terletak di Transit Rapid Massa (MRT) Stesen Merdeka baru-baru ini.

Antologi Citra Kebenaran.

Antologi yang diterbitkan pada tahun 2020 tersebut mempunyai tiga segmen iaitu “Segmen Penulis Tamu”, “Segmen Karya Penulis” dan “Segmen Penulis Anekdot”.  Sebanyak 91 orang penulis telah menghasilkan 142 buah karya yang turut menampilkan penulis pemula. Antara penulis pemula yang menerbitkan karya dalam antologi tersebut adalah seperti Muhammad Abzar Burhanudin (“Rukun Negara Penyatu Bangsa”), Raja Mohd Kamarudin Raja Badrulhisham (“Teras Rukun Negara”), Rosila Samad (“Tanggal 31 Ogos 1970”) dan Mohd Khairul Azhar Mustapa (“Bicara Cinta Sekuntum Bunga”).

Haji Adlan Haji Mohd. Ali atau lebih dikenali sebagai Chulan mengatakan bahawa penerbitan Citra Kebenaran merupakan usaha murni untuk mengajak masyarakat kembali berpegang pada prinsip Rukun Negara bagi mengekalkan kedamaian dan keharmonian di tanah air kita.

“Amat baik sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia menjadikan antologi ini sebagai buku teks dan bahan bacaan di sekolah menengah,” tambah beliau lagi yang turut menghasilkan sajak berjudul “Nikmatnya Merdeka di Rumah-Mu” dan “Kita Sanjung Merdeka yang Luhur”.”

Sebagai penulis sajak “Retro Memoir”, Hafizan Jamal memberitahu bahawa Rukun Negara merupakan asas norma kehidupan bertamadun yang mengikut panduan. Maka itu, pembinaan arcanya di stesen MRT Merdeka menjadi lambang perpaduan masyarakat dan menjadi penanda aras masyarakat majmuk yang hidup aman damai.

“Arca tersebut boleh menjadi tanda peringatan yang terpahat bagi warganegara tercinta, khususnya generasi muda tentang peri pentingnya lima prinsip Rukun Negara dalam membina jati diri bangsa merdeka,” ujar Mohd. Khairul Azhar yang merupakan penulis antologi tersebut dan juga pegawai Jabatan Muzium Malaysia.

Tambahnya lagi, garapan daripada penulis berpengalaman dan baharu menerusi antologi ini semestinya dapat menterjemahkan teras Rukun Negara itu sendiri kepada warganegara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.