Oleh Roslan Jomel
4 Julai 2022, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tiada apa-apa yang istimewanya menjadi penulis. Secara fitrahnya, mereka hanya manusia biasa. Bahkan perlu mengambil nombor giliran ketika berurusan di kaunter bank, misalnya. Kejayaan seseorang penulis bukan berpaut sepenuhnya pada bakat alam atau kerajinan berkarya. Hakikatnya, terdapat penulis yang menjadi masyhur hanya dengan sebuah buku. Andaikan seseorang penulis masih gagal sepanjang pelibatannya, lalu, siapakah yang hendak dipersalahkan sekiranya penulis tersebut belum diangkat sebaris dengan SM Zakir, contohnya. Menyalahkan editor dan juri, lebih menyerlahkan depresi jiwa seseorang penulis. Cuba periksa manuskrip dan mentaliti diri terlebih dahulu.

Luka lengan akibat tergores kaca memang boleh dilihat secara lahiriah. Segeralah ke farmasi berdekatan untuk memulihkan kesakitannya. Namun demikian, bagaimanakah kesannya menanggung kekecewaan yang menggeragoti dalam kalbu? Hal ini bukan urusan yang mujarad dan kompleks. Jika tidak dicari jalan keluar, dikhuatiri akan mendorong seseorang itu teraba-raba dalam kegelapan perasaan. Di sinilah kita memerlukan sasterawan yang baik untuk membantu melalui karyanya. Dalam buku, Pemburu Kata Merdu (2017), Abizai telah menukilkan sebuah sajak bertajuk “Cermin” yang menggambarkan secara kerohanian tentang kiasan halus bagaimanakah krisis kejiwaan seseorang telah terbias di hadapannya sendiri.

Pada suatu kesempatan, saya berjumpa dengan rakan penulis sambil menikmati makan malam di sebuah restoran makanan laut di tengah Kuala Lumpur. Penulis yang menempa nama sejak awal tahun 1990-an, dan pernah memenangi hadiah utama pada peringkat kebangsaan dan negeri untuk membuktikan kualiti kerja penulisannya yang dipupuk dengan penuh ghairah, sabar serta tanpa perlu membuat provokasi.

Baru-baru ini, penulis yang menetap jauh dari bandar raya Kuala Lumpur diiktiraf sebagai penerima hadiah di rantau Asia Tenggara. Anehnya, dengan karya yang baik dan memiliki renungan mendalam, dia bukanlah penulis popular kepada generasi baharu walaupun sudah banyak buku telah diterbitkan saban tahun.

Selepas menghabiskan segelas jus tembikai, rakan penulis mendedahkan betapa wujudnya penulis, angkatan muda, yang disahkan telah menghidap penyakit kanser tahap 4. Kini terlantar di atas katil di dalam rumah tanpa mahu diubati, apa lagi dijenguk oleh sesiapa.

Menurut rakan penulis juga, tubuhnya kurus dan semangat untuk hidup semakin memudar melalui pancaran matanya. Siapa sangka, penulis muda yang konon bakal dilambung sebagai penerus gelombang baharu sastera itu terlentang di dalam rumah dengan fikiran kacau-bilau kerana tekanan penyakitnya.

Dua buah buku yang diterbitkan oleh penulis muda tersebut tidak pernah dibicarakan oleh ahli akademik sastera. Bahkan, karya cerananya tidak menerima penghargaan pada peringkat negeri. Tidak sepertimana pengarang lain yang saban tahun kerap mendaki tangga pentas untuk menerima sijil kemenangan. Hal itulah yang memperdalamkan kelukaan yang terasa mengilukan jiwa penulis muda itu.

Sebagai penulis berpengalaman dan terlebih dahulu mencicip asam garam dan ragam sepak terajang dalam ranah penulisan, dia cuba memberikan nasihat, motivasi dan tujuan utama seseorang ketika menceburi bidang penulisan. Ganjaran dan pengiktirafan, insya-Allah, tiba pada waktu sesuai seperti mana buah yang telah matang di pokok. Tidak perlu menebang pokok yang baharu ditanam.

Yang dimaklumkan, dunia penulisan ini seluas samudera bahkan tanpa sempadan. Bagaimanakah hendak menyeberang lautan jika berperahu ke seberang sungai sahaja dianggap memenatkan? Manuskrip harus dimuat dengan bekalan ilmu dan bukan sekadar timbunan perasaan. Pastikan karya itu jernih dan paling mustahak harus membawa manfaat kepada pembaca.  Oleh sebab mustahaknya pengalaman dan pengetahuan.

Namun demikian, entah berasas atau sekadar kecamuk perasaan sendiri, penulis muda tersebut tetap berasa bahawa kreativitinya tidak dihargai sebagaimana pengarang mapan lain. Konon teknik penulisannya diguna pakai oleh penulis lain dan malahan memenangi hadiah pula. Dalam penulisan karya kreatif, saling pengaruh-mempengaruhi merupakan kes biasa. Ada penulis yang meminati gaya penulisan Roberto Bolano dan ada pula yang lebih condong terhadap teknik penulisan Paul Auster.  Sambil terbaring di atas katil dengan rambut kusut-masai, penulis muda yang kesakitan itu meracau dan terus meraban. Perkara itu tidak adil baginya. Kebolehannya telah dimanipulasikan oleh penulis lain secara bulat-bulat. Dia kemudian menyatakan, untuk tidak lagi berkarya selagi nasibnya tidak dibela. Idea dan ilhamnya telah diselewengkan.

Saya kenal akan penulis angkatan muda yang dimaksudkan oleh rakan penulis tersebut dan cuba membayangkan alangkah peritnya menanggung gejala sedemikian rupa pada awal tahap dalam bidang penulisan karya kreatif. Hal ini disebabkan saya sendiri pernah dihimpit perasaan sebegitu pada awal kerja menulis. Maklum, darah muda. Padahal, tiada siapa pun yang membaca karya yang tersiar di akhbar atau majalah. Keinginan untuk segera berada di puncak dan meraih sanjungan memang kemuncak impian buat pengarang. Bagaikan madu yang disapu di atas sekeping roti.

Persoalannya, adakah kenikmatan sensasi dalam lapangan persuratan itu sudah layak untuk dikalungkan ke leher kita? Adakah sememangnya objektif penulisan hanyalah memburu anugerah dan sanjungan peribadi?

Saya terkenangkan bagaimanakah kelabunya jalan yang ditempuh ketika mula-mula berkarya. Kritikan dan teguran daripada penulis berpengalaman dianggap cuba memperlekeh ekspresi golongan muda. Seolah-olah apa-apa yang dihasilkan melangkaui zaman dan berbentuk baharu. Memang benarlah kata sasterawan besar, apa-apa yang kita tulis dengan apa-apa yang diungkap pujangga berkredibiliti, ternyata jauh jurang mutunya. Itulah yang dinamakan sebagai kematangan. Dengan bakat yang tidak seberapa, ilmu masih seinci dan pengalaman setahun jagung, sungguh dahsyat sikap dan mentaliti karyawan angkatan baharu yang menjadi subjek penceritaan rakan penulis. Adapun kanser yang saya gunakan dalam esei ini hanyalah ibarat sahaja. Namun demikian, penulis muda itu masih terlantar dengan emosi yang masih terganggu.

Pada kesempatan yang lain pula, saya bertemu lagi dengan rakan penulis di restoran sekitar Jalan TAR untuk menikmati roti nan keju dan teh tarik. Rakan penulis saya itu memang kerap turun ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bahan bacaan terbaharu. Dia tidak mahu dianggap sebagai penulis lama yang kolot dan ketinggalan maklumat. Melalui pembacaan yang luaslah, dia mengemas kini gaya penulisan agar seiring dengan nuansa kontemporari. Hidangan telah sampai dan kami pun segera merobek roti nan keju sebelum mencelupnya ke dalam kuah kari kambing. Rupa-rupanya cerita penulis muda yang menanggung penderitaan zahir dan batin itu, masih belum selesai. Bukannya membaik, tetapi bertambah teruk ketika meracau di atas katil dalam rumah penulis yang terseksa itu. Konon, sastera tanah air telah lama menghidap penyakit kanser dan natijahnya, wabak yang membawa maut itu telah tersebar kepada golongan karyawan.

Panggillah seberapa banyak doktor psikiatri, bomoh, pakar motivasi mahu pun perdana menteri, penyakit yang meliputi jiwa penulis muda itu tidak mungkin sembuh. Cermin yang mendindingi kalbu setiap hari berpotensi untuk keruh atau tercemar. Sama ada oleh asap kenderaan, habuk dan nafsu. Siapakah yang hendak menyapu kekotoran dalaman itu kalau bukan diri sendiri?

Penulis bukan manusia istimewa. Sebagaimana manusia lain, mereka terdedah oleh pelbagai gejala duniawi, disedarkan atau buat-buat tidak sedar. Sastera hanyalah pelantar nipis yang dijadikan medium untuk meletakkan kata-kata, fikiran dan wawasan seseorang pengkarya. Jika niat seseorang penulis tersebut salah, lambat-laun dia akan terjerlus ke dataran berkerikil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.