4 Julai 2022, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – “Mak saya buta huruf tetapi beliau dapat mendendangkan syair dan bercerita kisah rakyat kepada anak-anaknya. Sambil kami menuai, mengangin dan menumbuk padi, mak pula mendendangkan syair dan bercerita sehingga kami yang membuat kerja tidak berasa letih.” Demikianlah kata-kata yang dipetik daripada Puan Hajah Mahaya Md Yassin, Sasterawan Negeri Sembilan dalam sebuah program “Wacana Sastera Islam: Apabila Tukang Pena Berbicara” yang diadakan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Program anjuran Sekretariat Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, Nadi Sastera Islam, USIM mendapat sambutan yang mengalakkan daripada warga kampus. Program yang julung kalinya dianjurkan secara bersemuka telah menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Puan Rozninah Abd Azib, mantan editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin, dan Puan Azian Mohamed Isa, penulis dan moderator untuk program “Secangkir Kopi Jam 10”.

Perkongsian oleh Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin menunjukkan bahawa pendidikan yang sangat ampuh daripada seorang ibu dan peranan mereka dalam menyuntik jiwa seorang anak untuk cinta akan sastera. Buktinya, asuhan yang digarap sejak kecil dan contoh yang ditunjukkan oleh bondanya berjaya menjadikan Mahaya sebagai sasterawan yang hebat pada hari ini. Tepat sekali pepatah Arab yang diungkapkan Ahmad Syauqi, iaitu ibu merupakan madrasah pertama bagi anak-anak. Sekiranya ibu memahami peranan sebenar dan tugasnya yang hakiki, maka dia akan menatijahkan anak-anak yang berkualiti.

Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin.

Terinspirasi daripada tiga susuk yang penting dalam hidupnya, iaitu emak, abah dan guru, Mahaya mengorak langkah untuk merebut setiap peluang yang terbentang untuk konsisten dalam menghasilkan penulisan. Inspirasi daripada emak dan abah serta sokongan dan bimbingan secara berterusan sehingga sajak yang dihasilkan oleh beliau berjaya diterbitkan dalam akhbar tempatan sewaktu beliau masih berada di alam persekolahan.

Selain kemahiran mendengar, membaca, menulis, bertutur yang diperlukan untuk menulis, kemahiran bahasa juga sangat penting kerana komunikasi melibatkan bahasa. Hujah, perasaan dan fikiran tidak akan mampu disampaikan sekiranya bahasa tidak baku dan tidak tepat. Maka itu, penulis harus mengutamakan aspek bahasa agar mereka dapat menghasilkan penulisan yang baik dan bermutu serta dapat difahami dengan jelas.

Kesempatan berada di DBP serta pandai memanfaatkan peluang yang tersedia di hadapan mata menjadikan Puan Rozninah Abd Azib berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan olehnya. Bermula dengan hanya menjadi pelukis sambilan di DBP sehinggalah beliau berjaya memegang jawatan sebagai editor kanan di DBP.

“Sebelah tangan saya menaip, sebelah tangan lagi mendodoikan anak. Kegigihan tersebut menyaksikan saya berjaya menjadi juara dalam sebuah Pertandingan Menulis Skrip Drama Televisyen,” kongsi Rozninah yang kini merupakan pesara DBP.

Puan Rozninah Abd Azib.

Menurutnya lagi, selain menyertai pertandingan penulisan untuk mendapatkan wang bagi melanjutkan pelajaran dan kelangsungan hidup, menulis merupakan terapi bagi dirinya dan yang paling penting adalah untuk bekalan di sana nanti.

Sekalipun jasad kita sudah tiada lagi suatu hari nanti, tetapi tulisan yang ditinggalkan akan terus kekal. Jika disoroti sejarah tokoh terdahulu, tulisan yang ditinggalkan oleh mereka memberikan manfaat dan hingga sekarang berkekalan menjadi amal jariah walaupun jasad mereka telah tiada.

Bagi Puan Azian Mohamed Isa pula, kekosongan yang dirasakan setelah melepaskan jawatan sebagai pensyarah menyebabkan beliau berusaha untuk mengisi kelompangan jiwa dengan mengikuti bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Menyertai bengkel penulisan bersama-sama tokoh hebat telah membuka ruang kepadanya untuk bergelar seorang penulis.

Pencetus untuk saya menjadi penulis adalah apabila saya berkelahi dengan diri sendiri, sama ada ingin meneruskan kerjaya atau fokus membesarkan anak-anak. Sastera mengajar saya untuk bersederhana.

Hampir sebanyak 100 peserta yang hadir dalam program “Wacana Sastera Islam: Apabila Tukang Pena Berbicara”.

Kesimpulannya, selain bijak memanfaatkan ruang yang ada untuk mencipta peluang sebagai penulis, kekuatan bahasa menjadi penyelamat kepada mereka yang bergelar seorang penulis. Hal ini ditegaskan oleh ketiga-tiga ahli panel melalui pembacaan dan penulisan yang mempertingkatkan kualiti pengkaryaan masing-masing. Perkongsian mereka menjadi pemangkin semangat kepada generasi penulis baharu yang ingin terus menyebarkan kebaikan melalui tulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.