27 Jun 2022, 22:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Barisan juri dan jurupantun SANTUN.

Pulau Pinang – Memasuki fasa endemik, kegiatan berpantun secara bersemuka dalam kalangan mahasiswa kembali rancak diadakan. Oleh itu, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif ini dengan mengadakan Sayembara Warisan Pantun (SANTUN) pada 24 hingga 26 Jun 2022 bertempat di Kampus Induk USM, Georgetown, Pulau Pinang. Program anjuran Desasiswa Restu USM ini telah mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan tajaan Malayan Banking Berhad (Maybank), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, (BHEPA USM).

Penyertaan sayembara ini terbuka kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Sebanyak 10 pasukan telah bertanding, antaranya termasuklah Desasiswa Tekun, Restu A, Restu B, Cahaya Gemilang Harapan, Indah Kembara, Murni Nurani dan Jaya Lembaran Utama dari USM, TERASEK iaitu gabungan alumni SMK Tasek Utara, Johor Bahru yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Pertandingan pantun ini dilaksanakan secara liga iaitu para pemantun berentap secara spontan sepanjang perlawanan. Pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah Desasiswa Restu A USM dan UIAM. Barisan panel juri yang bertugas menghakimi pertandingan akhir ialah Asmalia Md Lasim selaku Juri Isi merangkap Ketua Juri, Syamputra Razali juga selaku Juri Isi, Azmi Md Said selaku Juri Bahasa, Faezah Muhayat juga selaku Juri Bahasa, dan Nor Adlyizan Theis selaku Juri Gaya Persembahan. Manakala, jurupantun yang mengendalikan acara ialah Iman Mustafa. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Azlinda Azman,

Pasukan tuan rumah, iaitu Desasiswa Restu A USM yang berjaya merangkul gelaran Juara SANTUN.

Keputusan peringkat akhir menyaksikan pasukan tuan rumah iaitu Desasiswa Restu A USM yang dibarisi oleh Syuhaira Afiah, Husna Izzati, Muhammad Aiman Shahmi dan Mohamad Haikal Izham berjaya merangkul gelaran juara dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1500, piala dan sijil. Naib juara disandang oleh pasukan UIAM yang diwakili oleh Muhamad Azuan, Mohammad Ikhwan Afeeq, Muhammad Iqbal, dan Muhammad Faiz yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1200 dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan TERASEK yang terdiri daripada Mohamad Hafiz, Nurul Fadhilah, Nurul Fathanah dan Athiera Hana dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM900 dan sijil.

 

Naib juara dimenangi oleh pasukan UIAM.
Tempat ketiga program SANTUN dimenangi oleh pasukan TERASEK.

Bagi kategori anugerah khas, Marlia Anak Kilat daripada pasukan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan USM telah dinobat selaku penerima Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200 beserta plak. Manakala Husna Izzati telah diumum selaku penerima Anugerah Pemantun Terbaik Pentas Akhir dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM200 dan plak. Sementara itu, pasukan Desasiswa Tekun telah merangkul Anugerah Pembukaan Terbaik dan pasukan TERASEK pula memenangi Anugerah Busana Terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 beserta plak.

Melabuhkan tirai program, SANTUN ternyata telah menunjukkan ketajaman akal pemantun untuk berfikir pantas dalam mengeluarkan idea mengarang pantun. Konsep berpantun spontan ini juga sesuai dengan budaya masyarakat pada zaman dahulu yang berpantun secara santai tanpa menulis. Penganjuran pertandingan pantun diharap dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang meneruskan warisan budaya pantun pada masa akan datang.

Peserta akhir SANTUN bergambar bersama dengan hadiah kemenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.