20 Jun 2022, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika ditemu bual dalam Bicara “Hati dan Minda Sasterawan”.

Kuala Lumpur – Bicara “Hati dan Minda Sasterawan” yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 turut menampilkan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan untuk berkongsi pengalaman beliau dalam bidang kepengarangan kepada generasi muda.

“Saya mengikuti perkembangan dunia kepengarangan generasi muda kita. Ringkasnya saya bahagikan mereka kepada dua kelompok, iaitu kelompok yang berkarya untuk mengumpul keuntungan semata-mata dan mereka yang berkarya secara serius dan prihatin bagi menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Saya beranggapan bahawa kelompok kedua inilah yang akan membentuk urat dan akar pemikiran ketamadunan bahasa, sastera, falsafah, pemikiran dan pandangan hidup masyarakat kita pada masa hadapan. Karya hasil penulis kelompok kedua inilah yang akan mempunyai jangka hayat yang lama,” ujar beliau.

Penulis Naratif Ogonshoto itu turut menyambung, memang ada penulis generasi muda yang berkarya dengan nilai sastera yang dinyatakan tadi, malah mutu karya mereka juga kelihatan tinggi dan kuat. Beliau juga meletakkan tanggungjawab dan peranan untuk menjaga kualiti karya kepada pihak penerbit buku. Walau bagaimanapun, beliau juga tidak menafikan bahawa ada penerbit kontemporari yang menerbitkan buku sastera yang bermutu.

Beliau turut berkata,

Memang ada penulis muda kita yang menulis dalam pelbagai genre, sama ada puisi mahupun fiksyen yang saya dapati memang berkarya dengan sangat baik. Standard karya mereka sama dengan karya hebat pada peringkat antarabangsa. Namun kita kurang menterjemahkan karya mereka ini dalam bahasa asing.

Beliau juga pernah mengutarakan isu yang sama dalam Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2022 di Pasar Seni, awal tahun ini. Beliau ingin memastikan bahawa karya penulis muda ini diterjemahkan dalam bahasa asing, khususnya buat penulis muda yang dilihat semakin serius dalam berkarya dan diyakini kekuatan penulisan mereka.

Bagi Anwar, sesuai dengan pengalamannya sebagai pensyarah di ASWARA, generasi penulis muda memang sebahagiannya dilatih untuk berkarya dengan bahasa yang tinggi dan baik, menjaga artistik penulisan dan menghargai nilai-nilai sastera. Melalui penterjemahan karya penulis muda, maka sastera negara dapat berkembang.

Kenyataan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika memberikan ucapan bersempena dengan PBAKL baru-baru ini yang meminta supaya Institut Terjemahan Bahasa Malaysia untuk menterjemahkan karya tempatan merupakan usaha yang baik dan beliau melihat usaha tersebut sebagai kebangkitan semula untuk mengangkat karya penulis muda negara kepada dunia luar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.