Oleh Julia Henry
19 Jun 2022, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Pada 18 Jun 2022, Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah merasmikan Majlis Penutup Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Batu Pahat, Johor. Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 atau SAMPENG 2022 merupakan program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.

SAMPENG 2022 merupakan program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.

Penganjuran sayembara tersebut bertujuan untuk memperkukuh penghayatan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat setempat, terutama pelajar sekolah. Program yang julung kali diadakan ini juga bermatlamat untuk menggilap bakat menulis dalam kalangan penulis muda, terutama pelajar untuk menghasilkan karya kreatif. Selain itu, melalui sayembara tersebut juga, peserta dapat menzahirkan pemikiran yang kreatif dan kritis dalam bentuk penulisan yang berimpak positif.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, “Kita pastinya berasa bangga apabila bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa yang puitis, indah dan juga unik. Tambahan pula, peranan bahasa Melayu telah terbukti sekian lama dalam menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.”

“Walaupun kebanyakan peserta sayembara lahir dalam era milenium yang berhadapan dengan gelombang modenisasi, namun kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea dan ilham masih dikekalkan. Hal ini terbukti melalui penulisan cerpen seperti yang diharapkan dalam penganjuran sayembara penulisan cerpen tentang Parit Sulong.”

Menyentuh tentang bidang penulisan kreatif pula, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyarankan penulisan kreatif wajar diperkenalkan secara lebih menyeluruh kepada semua peringkat dan lapisan masyarakat. Menurut beliau, karya penulisan kreatif seperti cerpen mempunyai pelbagai nilai murni intrinsik dan ekstrinsik yang dapat diteladani oleh masyarakat menerusi pembacaan. Nilai seperti ini jika diserap melalui pembacaan akan membentuk kemahiran insaniah dan sahsiah diri yang tinggi dalam kalangan pembaca.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, sayembara ini bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan sebagai asas dalam menjulang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan pula diundang khas untuk mendeklamasikan sajak.

Pertandingan SAMPENG 2022 hanya terbuka kepada pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong, yang menyaksikan penyertaan daripada 32 buah sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah. Sebanyak 16 cerpen terbaik oleh peserta sayembara dihimpunkan dalam sebuah buku yang bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong. Maka itu, majlis ini turut menyaksikan pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam majlis ini juga, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Cerpen Parit Sulong yang terbahagi kepada dua kategori. Bagi kategori sekolah rendah, pemenang tempat pertama menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM750.00, tempat kedua berjumlah RM500.00 dan tempat ketiga berjumlah RM350.00. Bagi kategori sekolah menengah pula, pemenang tempat pertama menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM1000.00, tempat kedua berjumlah RM750.00 dan tempat ketiga berjumlah RM500.00.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), KPT, Dr. Mohd. Zabri Yusoff, dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahman turut hadir bersama-sama Menteri Pengajian Tinggi dalam majlis ini. Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan pula diundang khas untuk mendeklamasikan sajak sebagai pengisian acara majlis ini.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!