17 Jun 2022, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
“Bengkel Ayuh Perkasa Seni Bahasa” diadakan selama tiga hari yang menampilkan tiga penceramah  hebat, iaitu Encik Muhammad Safwan Yusof, Encik Muaz Abdul Samad dan Dr. Shafa’atussara Silahudin.

Selangor – Seperti tahun lepas, bengkel puisi kembali lagi dianjurkan oleh Kelab Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya (CiTRA) UIAM. Tampil dengan nama program baharu, “Bengkel Ayuh Perkasa Seni Bahasa” ini telah diadakan secara dalam talian pada 27 dan 28 Mei serta 16 Jun 2022 menerusi platform Google Meet.

Terdapat tiga bengkel puisi yang diadakan melalui program ini, iaitu bengkel sajak, pantun dan syair. Bagi menggalakkan penyertaan dalam kalangan peserta, pihak penganjur bukan sahaja telah membuka pendaftaran kepada pelajar UIAM, malah turut mengundang masyarakat luar untuk turut hadir.

Siri program ini dimulakan dengan bengkel puisi moden yang diadakan pada 27 Mei 2022 dengan menjemput Encik Muhammad Safwan Mohd Yusof, iaitu jurulatih sambilan Apresiasi Sastera, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebagai penceramah. Beliau merupakan Pemenang Pertandingan Baca Puisi Negaraku yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun 2020. Ketika bengkel tersebut berlangsung, beliau menekankan aspek penghayatan dan emosi dalam menyampaikan teks sajak dan turut melatih peserta untuk pelbagaikan nada suara berdasarkan tema.

“Bengkel Ayuh Perkasa Seni Bahasa” diteruskan dengan bengkel pantun yang diadakan pada 28 Mei 2022 dan menampilkan Encik Muaz Abdul Samad, jurulatih pasukan pantun Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu (SKBB) Kulim dan Universiti Malaya (UM) selaku penceramah. Sebagai Johan Pertandingan Melafaz Pantun Dewan Bahasa dan Pustaka Tahun 2021, beliau turut berkongsi teknik menyenarai rima kata dan mencipta pembayang berunsur alam, serta cara melafazkan pantun dalam pertandingan peringkat sekolah dan IPT serta bacaan santai telah dikongsikan.

Seterusnya, bengkel syair yang diadakan pada 16 Jun 2022 telah menampilkan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu UM, Dr. Shafa’atussara Silahuddin sebagai penceramah. Beliau merupakan penerima Anugerah Bitara Syair Nusantara 2021. “Saya sedang menjalankan penyelidikan iaitu dengan mendekati golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memberikan pendedahan tentang ilmu syair dan dalam usaha mengusulkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewujudkan sukatan pelajaran nyanyian puisi tradisional ke dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik,” ulas Dr. Shafa’atussara yang juga merupakan Penyelidik Seni Budaya

Selain mempelajari teknik mendeklamasi sajak, melafazkan pantun dan mendendangkan syair, bengkel ini turut mendidik para peserta tentang bentuk penulisan puisi dan usaha melestarikan pergerakan puisi melayu melalui media massa sebagai usaha untuk mendekati generasi muda.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!