13 Jun 2022, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sekitar suasana di reruai DBP yang berjaya menarik perhatian pengunjung tanpa mengira usia.

Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan pada tahun ini seakan-akan seperti peluang untuk melihat  corak pembaca pada hari ini. Setelah dua tahun tidak diadakan secara fizikal, maka tahun ini memperlihatkan pengunjung tampil dalam keterujaan yang luar biasa. Pada hari pertama penganjurannya iaitu pada 3 Jun 2022, lebih 50 000 pengunjung dilaporkan, dan hingga hari terakhirnya iaitu 12 Jun 2022, sambutan pengunjung masih luar biasa. Dengan lebih daripada 700 reruai dan keberadaan rumah penerbitan yang semakin menapak mesra dengan pembaca, budaya membaca dilihat semakin meningkat buat sekian kalinya melalui PBAKL 2022.

Oleh itu, sidang editor e-Tunas Cipta mengambil peluang untuk menemu ramah pengunjung dan penerbit yang terlibat di PBAKL 2022 pada hari terakhir penganjurannya berkaitan dengan pandangan mereka tentang peranan pesta buku terbesar negara itu dalam memaparkan corak pembaca negara.

Laila Mariah, 24 tahun, seorang mahasiswa di sebuah universiti di Kuala Lumpur berkata, pengalaman di PBAKL pada tahun ini amat berbeza dengan pengalamannya ketika menghadiri pesta buku tersebut pada tahun yang lalu.

“Saya tidak pernah gagal datang ke PBAKL saban tahun. Semangat pada tahun ini memang agak berlainan. Lebih-lebih lagi setelah dua tahun PBAKL tidak dapat dianjurkan secara fizikal. Pada tahun ini, saya dapat melihat perubahan yang baik dalam industri pembukuan, seperti penerbitan digital yang semakin dekat dengan masyarakat. Bagi saya, pendapat yang mengatakan bahawa industri pembukuan akan pupus itu tidak berasas. Selepas dua tahun ini, kita lihat perubahan yang besar dalam kalangan pembaca buku yang semakin besar dan bertambah, juga perubahan jenis penerbitan yang semakin dekat dengan sastera,” tambahnya.

Manakala seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ismarulyusda Ishak juga sempat berkongsi tentang bagaimanakah beliau bersama dengan keluarganya mengambil peluang bagi meraikan PBAKL pada tahun ini.

“Saya bersama dengan keluarga datang selama tiga hari berturut-turut dan setiap hari kami pasti akan beli buku. Keterujaan kami itu membuatkan kami menempah hotel berdekatan selama tiga hari kerana memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Suasana pesta buku pada tahun ini juga luar biasa. Walaupun saya hadir pada hari bekerja, namun suasananya sama seperti hari cuti. Pengunjung masih berpusu-pusu tidak kira usia,” ulas beliau ketika ditemu bual oleh sidang editor e-Tunas Cipta.

Pengunjung yang kelihatan teruja membeli bahan bacaan yang diminati.

Selain itu, sidang editor e-Tunas Cipta turut berkesempatan menemu bual Rasydan Fitri yang merupakan Pengurus Pemasaran bagi Kata-Pilar Books berkongsi tentang persediaan mereka dalam menghadapi PBAKL pada tahun ini.

“Asalnya kami agak risau, namun apabila tiba hari penganjurannya, kami dikejutkan dengan sambutan yang sangat luar biasa. Pengunjung yang datang pada hujung minggu, sama banyak dengan yang datang pada bekerja dan ruang PBAKL sentiasa padat dengan pengunjung,” ulas beliau.

Tambahnya, hal ini mungkin kerana faktor dua tahun PBAKL tidak diadakan secara fizikal, jadi tahun ini mereka memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin. Mungkin juga atas faktor perubahan minat khalayak itu sendiri. “Di Kata-Pilar, kami juga banyak berubah dalam dua tahun ini. Kata-Pilar ketika awal penubuhannya banyak menerbitkan buku anekdot, medik, manakala buku sastera itu pula hanya sampingan. Namun pada hari ini, jumlah penerbitan buku sastera sudah semakin meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana genre sastera merupakan bidang utama  yang kami cuba sampaikan kepada pembaca,” kata beliau.

Para pengunjung, pengusaha dan penerbit buku rata-ratanya mempunyai harapan yang besar terhadap dunia buku, dan selepas PBAKL 2022, sekurang-kurangnya satu langkah besar terhadap harapan itu sudah diorak. Dari sudut industri pula, syarikat penerbitan memang memandang PBAKL sebagai satu acara penting dalam kalendar tahunan industri penerbitan buku.

Forum Remaja yang dianjurkan oleh Bahagian Majalah, DBP telah berjaya menarik pengunjung untuk menyertai aktiviti yang diadakan bersempena dengan PBAKL 2022.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.