10 Jun 2022, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bicara Buku: Kala Kesunyian Membingitkan menampilkan Fai Zakaria sebagai pembicara dan Encik Abdul Ghani Abu sebagai moderator.

Kuala Lumpur – “Saya telah melukis lebih daripada 200 buah karya jantung, namun hanya 45 buah karya jantung yang dibukukan dalam buku ini dan karya tersebut merupakan antara karya yang saya minati,” jelas Fai Zakaria atau nama sebenarnya Ayu Fairuza Zakaria ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Buku: Kala Kesunyian Membingitkan di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan pada pagi ini.

Tambah Fai, kebanyakan karya beliau merupakan tentang dirinya atau orang yang berada di sekelilingnya yang menjadi sumber inspirasi dalam setiap penghasilan karya beliau. Selain itu, karya tersebut merupakan antara kaedah beliau untuk menyampaikan pesanan dan luahan perasaan yang tersirat dalam dirinya kepada pembaca.

Mengulas lebih lanjut berkenaan buku ini, Fai memilih untuk membukukan sebanyak 45 buah koleksi kegemarannya itu dalam sebuah buku berbanding dengan menjualnya dalam bentuk bercetak. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau ingin mengekalkan nilai karyanya, selain ingin meraikan peminat karyanya yang ingin mendapatkan keseluruhan koleksi karya jantungnya.

Fai Zakaria yang merupakan penulis, pelukis dan penyajak yang telah menceburi bidang seni selama 13 tahun.

Fai turut berkongsi keistimewaan  berkenaan buku ini berbanding dengan buku-buku sebelumnya yang lebih berfokus kepada puisi dan lukisan iaitu coretan pengalaman beliau semasa mewakili Malaysia di Eropah selama dua bulan sebagai artis. Setiap karya dalam buku ini diperincikan kepada tiga segmen utama, iaitu “Di Sebalik Tabir”, “Lakaran dan Nota” dan “Pengolahan  dan Penghasilan”

Menjawab persoalan berkenaan tajuk bukunya iaitu Kala Kesunyian Membingitkan, Fai menjelaskan bahawa kesunyian yang membingitkan itu merupakan situasi tentang dirinya semasa duduk berseorangan dan sentiasa berfikir sehinggakan menganggu dirinya. Oleh itu, lukisan dan penulisan buku inilah yang membantu beliau untuk melenyapkan “bunyi” imaginasi yang menganggu dirinya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa tujuan beliau menghasilkan buku tersebut adalah untuk memberikan kesedaran dan berkongsi kepada masyarakat berkenaan kaedah dan proses dalam menghasilkan sesebuah karyanya. Beliau yang menceburi bidang seni ini selama 13 tahun telah banyak membuat pameran lukisan di Malaysia mahupun luar negara telah berjaya mempunyai ramai pengikutnya dalam media sosial.

Buku Kala Kesunyian Membingitkan atau versi dalam bahasa Inggeris, iaitu When the Silence Gets Too Loud akan berada di pasaran pada hujung bulan ini.

Buku Kala Kesunyian Membingitkan ini merupakan buah tangan terjemahan sendiri Fai Zakaria daripada buku asalnya yang berjudul When the Silence Gets Too Loud yang diterbitkan oleh Bahagian Buku Umum, DBP yang akan berada di pasaran pada hujung bulan ini. Buku yang mengandungi lapan bab ini memberikan fokus berkenaan proses penghasilan sebanyak 45 buah karya daripada koleksi atau siri “jantung” beliau yang bermula bermula dari tahun 2012 hingga 2020.

Mengakhiri bual bicara tersebut yang dikendalikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Encik Abdul Ghani Abu, Fai berharap agar buku ini dapat memberikan inspirasi kepada pembaca untuk mengunjungi galeri dan menghargai keunikan hasil seni karya artis tanah air, selain mampu menggalakkan masyarakat untuk melukis atau sekurang-kurangnya menghayati seni bersama dengan beliau melalui buku ini.

Turut hadir dalam program Bicara Buku ini ialah Ketua Bahagian Buku Umum, Encik M. Azahari Edin, Ketua Unit Sains dan Kemanusiaan, Bahagian Buku Umum, Encik Armin Azahari Saleh, Ketua Unit Sains Sosial, Bahagian Buku Umum, Puan Norhanifah Mohamed, dan karyawan DBP yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.