Oleh Mimi Musa
9 Jun 2022, 20:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menulis boleh memberikan kebebasan kepada seseorang. Kebebasan dari segi masa dan tidak terikat dengan satu entiti atau organisasi yang dapat menjadi sumber pendapatan seseorang individu. Oleh itu, Aqif Azizan telah membuktikan bahawa dengan menulis, beliau dapat mencipta bukan sahaja pendapatan sendiri, malah kejayaan demi kejayaan telah berjaya dilakarkan. Hal ini dikongsi oleh beliau dalam “Seminar X: Bermula dengan Apa yang Ada di Tangan” yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 baru-baru ini.

Aqif Azizan ketika sedang memberikan taklimat kepada peserta seminar yang hadir.

Aqif Azizan merupakan pengasas Academy Wire dan AQ Capital dan kini turut menjalankan seminar berkaitan dengan penulisan dan pemasaran telah memberikan tiga panduan kepada penulis yang ingin menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan mereka. Antara panduan yang dikongsikan adalah penulis tersebut mestilah mengetahui matlamat akhir tentang mengapakah mereka ingin menjadi seorang penulis. Hal tersebut amat penting kerana matlamat akhir tersebut akan menentukan hala tuju seterusnya yang harus diambil oleh penulis.

Penulis harus mengetahui tentang bagaimanakah ingin membina khalayak mereka sendiri. Dari situ, mereka boleh mempengaruhi khalayak tersebut dan sekali gus mampu memberikan pulangan yang baik kepada penulis.

Seterusnya, penulis perlu mengetahui tentang kaedah penulisan yang betul dengan mengenal pasti beberapa perkara seperti topik yang hendak disampaikan, sumber kenyataan, mempunyai tajuk yang menarik, kandungan yang berstruktur dan akhirnya bagaimanakah dapat mengaitkannya dengan produk atau servis yang ingin ditawarkan. Turut serta dalam seminar tersebut ialah Zamri Mohamad selaku pembicara sepanjang seminar tersebut berlangsung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.